Malaysia Dateline

Dr Ong Kian Ming

Kerajaan pelawa pelabur dari India tinjau peluang di Malaysia

Malaysia mempelawa pelabur dari India untuk meninjau peluang perniagaan dan pelaburannya yang luas susulan negara dalam usaha untuk mencapai status negara maju.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata dari segi pelaburan, ekonomi Malaysia terus berkembang dan memanfaatkan peluang yang wujud daripada corak perdagangan global dan integrasi pasaran yang tinggi.

“Pada 2017, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak US$45.8 bilion (RM197.1 bilion) dalam seluruh sektor ekonomi, termasuk sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama.

“Prestasi pelaburan menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan di Malaysia. Kami berhasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dari seluruh dunia,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India kali ketiga di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi benefisiari utama ekonomi pasaran terbuka dan globalisasi serta akan meneruskan amalan ekonomi terbuka untuk menggalakkan dan memudahkan perniagaan.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global, Malaysia terus menjadi negara yang berdaya tahan. Kita mempunyai ekonomi yang pelbagai dengan asas ekonomi yang kukuh,” katanya.

Tahun lepas, Ong berkata perdagangan mencatatkan prestasi yang cemerlang, mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh 13 tahun sebanyak US$410 bilion (RM1.77 trilion), meningkat sebanyak 19.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun 2018 menjadi tahun yang mencabar bagi Malaysia setakat ini, katanya kerajaan komited untuk menerajui negara ke hadapan, dengan fahaman perlindungan yang meningkat dan landskap perdagangan global yang tidak menentu.

Sejajar dengan ekonomi digital yang semakin berkembang, Ong berkata Malaysia merupakan pintu masuk yang ideal kepada syarikat asing yang mahu memanfaatkan pasaran e-Dagang yang sedang berkembang di rantau ini.

“Jumlah syarikat pemula niaga e-Dagang tempatan yang semakin meningkat, seperti Fashion Valet dan Photobook telah berjaya menggunakan platform e-Dagang mereka dari Malaysia ke pasaran serantau.

“Kerajaan terus komited untuk menggalakkan lebih ramai penggiat tempatan meninjau dan meraih manfaat daripada integrasi ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata ketegangan perdagangan antara AS dan China akan mewujudkan situasi “domino” yang akan mendorong tindak balas perdagangan dan akan menjadi alasan kepada negara-negara maju lain untuk menggunakan langkah perlindungan ke atas negara-negara membangun, termasuk negara-negara ASEAN.

“Konflik perdagangan bukan langkah yang memberi manfaat kerana sekatan perdagangan dan langkah-langkah tindak balas akan memberi kesan kepada semua pihak, terutamanya negara perdagangan kecil,” katanya.

— BERNAMA