
Kerajaan perkenal modul had umur perkahwinan 18 tahun di semua negeri
Kerajaan bakal memperkenalkan satu modul yang menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, modul itu yang sedang disiapkan merupakan garis panduan untuk dipatuhi oleh semua negeri mengenai perkahwinan.
Sehubungan itu, Naib Presiden AMANAH tersebut menegaskan adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang jika SOP tersebut tidak diikuti.
“Modul itu telah kita bincangkan di peringkat Jawatankuasa Persekutuan yang dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan,” ujarnya.
Mujahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sukaneka dan penyampaian baucer pakaian sekolah di Parlimen Parit Buntar dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selinsing di Parit Buntar semalam.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, walaupun ada negeri yang mahu meneruskan perkahwinan bawah umur 16 tahun, tetapi ia mestilah mematuhi SOP yang ketat.