Malaysia Dateline

Kerajaan perlu adil terhadap pekerja dalam UEM Sunrise

Kerajaan tidak seharusnya mementingkan keuntungan syarikat sehingga rakyat kehilangan pekerjaan, terutama dengan penggabungan dua syarikat besar antara Sunrise Group Bhd dan Eco World Development Bhd.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa, setiap penggabungan syarikat besar bakal mengorbankan pekerja asal mereka dengan pekerja bawahan adalah yang paling terkesan ketika rakyat berhadapan dengan kemerosotan ekonomi.

Menurutnya, keutamaan sepatutnya untuk memastikan ‘survival’ pekerja dipertahankan dan bukan penyusunan semula struktur syarikat sehingga mengakibatkan kehilangan perkerjaan.

“Perletakan jawatan mengejut ketua eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib, mungkin sebagai protes beliau mengambil keputusan untuk pergi sebelum beliau dihalau pergi oleh pengurusan baru.

“Ini merupakan amaran awal bahawa pemberhentian pekerja lama secara beramai-ramai tidak dapat dielakkan selepas penggabungan dan penyusunan semula selesai.

“Kenapa kerajaan merestui dan membenarkan ini berlaku di saat krisis wabak Covid-19 sedang memuncak? Pekerjaan yang ada patut diselamatkan dan bukan akan hilang melalui susunan semula syarikat baru demi keuntungan semata-mata,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Pengerusi AMANAH Terengganu itu mempertikaikan tindakan UEM Sunrise menyelamatkan syarikat swasta ECO World yang mempunyai rekod hutang berbillion ringgit.

Malah syarikat itu juga katanya tiada kena mengena dengan kerajaan.

“ECO World yang sanggup berhutang berbillion ringgit demi mengejar kekayaan patut menghadapi risiko untung dan rugi sendiri.

“Abah perlu berlaku adil pada keluarga Mak Cik Kiah dan anak anaknya dalam UEM Sunrise. Jangan pula kera di rimba di susukan sementara anak di pangkuan mati kebuluran.

“Dan jangan pula kerajaan mengorbankan nasib keluarga anak-anak Mak Cik Kiah yang tidak berdosa,” katanya lagi