Malaysia Dateline

Kerajaan perlu batal Projek Reklamasi Pulau Pinang Selatan, jejas kebajikan penduduk

 

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEM) menggesa pihak kerjaan supaya membatalkan Projek Reklamasi Pulau Pinang Selatan (PSR) yang akan membinasa alam marin negeri tersebut, selain menjejaskan kebajikan penduduk Pulau Pinang Selatan yang kebanyakannya Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata projek PSR itu akan meningkatkan lambakan hartanah yang semakin genting akibat kegagalan pihak berkuasa untuk mengawal selia syarikat-syarikat hartanah yang rakus memburu untung jangka pendek.

“Untung jangka pendek itu adalah dengan membina rumah mewah dan bangunan komersial pada kadar jauh lebih tinggi dari diperlukan pasaran Malaysia, yang tidak lagi memerlukan bekalan hartanah baru seperti sebelum tahun 2000.

“Selain itu, kehilangan punca rezeki dari habitat laut yang sihat di sekitar Pulau Pinang Selatan mungkin akan memaksa nelayan-nelayan ini untuk berhijrah keluar dari kepulauan Pulau Pinang ke Seberang Perai dan Negeri Kedah.

“Jika tiada tindakan susulan selepas demonstrasi nelayan-nelayan yang terjejas, persepsi bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak cakna dengan perasaan dan kedudukan orang Melayu di negeri tersebut, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan menjadi lebih kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut memetik kajian daripada Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH), bahawa jumlah perumahan lebihan telah meningkat sebanyak 30.6% kepada 32,313 unit dengan nilai RM19.9 bilion (+27.0%).

“Menurut fakta ini, adakah projek PSR masuk akal dari segi kewangan? Adakah kerajaan negeri Pulau Pinang lupa bahawa kebanyakan tanah dan penduduk Pulau Pinang bukanlah di kepulauan Pulau Pinang tetapi di tanah besar Pulau Pinang.

“Mengapa kerajaan negeri begitu obses melaksanakan projek PSR walaupun bilangan dan pertambahan penduduk di tanah besar Pulau Pinang jauh lebih besar dari kepulauan Pulau Pinang dan ketersediaan tanah yang boleh dibangunkan juga agak besar dan tidak perlu diwujudkan dengan proses penambakan laut pada kos yang begitu tinggi.

“Jika projek PSR gagal membuat untung akibat harga jualan hartanah yang lebih rendah dari jangkaan, suatu kemungkinan yang tidak boleh diketepikan ialah mereka (penduduk Pulau Pinang dan rakyat) di negara ini yang akan menanggung kerugian projek tersebut.

“Projek ini mesti dibatalkan. Janganlah kerana kerakusan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang hanya menguntungkan beberapa pihak, sokongan Bumiputera kepada kerajaan Pakatan Harapan pula terjejas,” katanya.

Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan menentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada Julai lepas.