Malaysia Dateline

Kerajaan perlu bela nasib 5,000 kanak-kanak yang jadi yatim piatu akibat Covid-19

Jumlah kematian akibat Covid-19 selama 22 bulan wabak itu menular, telah melepasi paras 29,000 dan kira-kira 5,000 kanak-kanak telah menjadi yatim piatu ekoran kehilangan ibu bapa mereka yang terkorban akibat wabak itu.

13 bulan adalah masa yang diambil oleh Malaysia untuk merekodkan 1,000 kematian pertama pada 17 Februari 2021.

Namun, jumlah keseluruhan kes kematian meningkat dari 28,000 kepada 29,000 hanya dalam tempoh dua minggu sahaja.

Jangkaan terburuk saya terbukti benar, bahawa pada 100 hari pertama Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan iaitu pada 7 Disember 2021, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia akan melepasi paras 30,000.

Adakah wabak Covid-19 akan meragut lebih banyak nyawa berbanding wabak Selsema Sepanyol yang berlaku pada 1918, yang membunuh 34,644 orang di Malaysia?

Kerajaan harus membela nasib 5,000 kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat wabak Covid-19 yang membunuh lebih 29,000 orang.

Antaranya dengan menyediakan pusat jagaan anak yatim piatu khas untuk memberikan pendidikan kepada mereka dari peringkat sekolah rendah hingga ke menara gading, selain menjaga keperluan dan kebajikan mereka.

Ini adalah antara usaha yang sekurang-kurangnya boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membela nasib 5,000 kanak-kanak berkenaan yang sekelip mata menjadi yatim piatu akibat penularan Covid-19.

Kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka kerana mereka kehilangan ibu bapa akibat daripada kegagalan kerajaan menurunkan angka kematian akibat Covid-19 ke paras yang serendah mungkin.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per sejuta penduduk tertinggi di rantau ASEAN dan Asia Timur dengan 876 kematian per sejuta penduduk – sebuah rekod yang mencerminkan kemampuan kerajaan yang teruk selain sistem kesihatan awam yang lemah.

Saya berharap kerajaan akan bertindak dengan berani untuk menjadikan 30 Disember sebagai Hari Memorial Kebangsaan bagi memperingati lebih 30,000 mangsa Covid-19 di Malaysia.

Selain itu, perlu menubuhkan sebuah pusat jagaan anak yatim khas untuk membela nasib 5,000 kanak-kanak yang menjadi yatim piatu sekelip mata akibat wabak Covid-19.

Bolehkah Kabinet memutuskan kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang?