Malaysia Dateline

Kerajaan perlu beri perhatian terhadap ancaman kebuluran akibat wabak Covid-19

Ancaman kebuluran yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga bekas Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, perlu diberikan perhatian.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi mengingatkan, kebuluran menjadi ancaman sebenar untuk negara jika kerajaan tidak memberi perhatian konstruktif.

Katanya, banyak negara luar sudah mula menghentikan eksport bahan makanan termasuklah ke Malaysia.

“Umum juga mengetahui bahawa sejak sekian lama, negara kita sangat bergantung kepada import bahan makanan dari negara-negara luar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Athirah menuntut agar kerajaan berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan rantaian bekalan makanan tidak terputus ketika negara sedang memberi keutamaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Senator Aiman Athirah Al Jundi

Sekatan waktu operasi pasar awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didakwa bukan hanya mengancam rantaian bekalan sayur dan makanan mentah, malah kepada sektor perikanan juga.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee dilapor berkata, kerugian nelayan hampir mencecah jutaan ringgit dan mereka terpaksa membuang ikan kerana penutupan pasar dan kurang sambutan orang ramai.

“Minggu lepas saya kira kerugian nelayan semua lebih daripada jutaan ringgit, bukan sikit, nak kami simpan semua ikan dalam peti sejuk beku juga tidak boleh,” katanya.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan, susulan lanjutan tempoh PKP, Salahuddin Ayub meminta agar kerajaan tidak mengabaikan para petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil-kecilan yang terjejas.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pelbagai aduan yang diterima sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian sehingga terpaksa mengikat perut.

Jelasnya lagi, golongan yang berpotensi untuk kebuluran itu perlu dijaga dan mengingatkan kerajaan agar tidak memandang ringan terhadap keperluan mereka.