Malaysia Dateline

Kerajaan perlu bersungguh-sungguh turunkan harga barangan makanan

Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri perlu mengambil langkah proaktif menurunkan harga barang makanan yang naik mendadak secara mengejut akhir-akhir ini.

Harga barang makanan mentah atau basah seperti sayur, telur, ayam dan ikan naik melebihi 100 peratus. Harga minyak dan banyak lagi bahan mentah lain yang turut naik telah menambah beban rakyat yang sudah lama terhimpit kesan daripada pandemik Covid-19.

Sudahlah kuasa beli (purchasing power) rakyat semakin lemah akibat kemerosotan ekonomi sejak Langkah Sheraton, kenaikan harga barang makanan ini umpama meletak garam ke atas luka rakyat.

Lonjakan harga ini antara lain dikaitkan dengan kenaikan harga bahan input pertanian seperti racun dan baja.

Justeru, kerajaan digesa untuk menambah subsidi kepada bahan bakar dan memberikan insentif khas menampung kos pengangkutan yang menjadi antara punca kos meningkat.

Kerajaan perlu serius menangani masalah di peringkat rantaian bekalan (supply chain) supaya kos di peringkat ini terkawal dan seterusnya membendung sebarang kenaikan harga barang di pasaran.

Selain itu, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada industri input pertanian ini bagi menampung kos yang ditanggung industri ini.

Dengan bantuan kerajaan ini, kerajaan boleh memperkenalkan harga siling bagi bahan mentah makanan popular seperti sayur, ayam dan telur. Pada masa yang sama, sokongan daripada pemain industri input pertanian dan makanan akan diperolehi dengan pemberian subsidi ini supaya margin keuntungan mereka tidak terjejas.

Kerajaan juga di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengawal harga barang dan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau syarikat yang menaikkan harga barang secara melampau.

Pegawai KPDNKK perlu turun padang secara lebih aktif untuk memeriksa harga jualan barang makanan terutama barang basah dan mengeluarkan kompaun serta mengambil tindakan undang-undang secara ketat terhadap pemborong dan penjual yang menaikkan harga secara melampau.

Di samping itu, akta berkaitan juga perlu segera dipinda bagi memberikan kuasa yang lebih kepada kerajaan mengambil langkah-langkah lebih berkesan mengawal harga barang.

Jika dalam mengawal isu keselamatan negara, kerajaan boleh menggubal dan meminda pelbagai undang-undang seperti SOSMA, POTA dan Akta MKN, kenapa dalam isu harga barang, kerajaan sepi tanpa tindakan, sedangkan isu ini melibatkan masalah kehidupan rakyat yang tulen (real).

Di samping itu, kerajaan boleh bertindak segera untuk mengawal harga barang dengan menggerakkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengambil langkah-langkah secara kolektif untuk memastikan sistem rantaian bekalan makanan ini berjalan dengan lebih berkesan tanpa ada gangguan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga dan kos.

Agensi seperti FAMA dan LKIM perlu lebih aktif membeli barang makanan basah seperti sayur dan ikan secara terus daripada golongan petani dan nelayan dan menjual terus kepada rakyat di kawasan tumpuan terutama kawasan perumahan.

Kaedah ini mampu untuk mengelak penglibatan orang tengah yang seterusnya memastikan harga yang lebih munasabah dijual kepada pengguna. Pada masa yang sama, ia dapat menjamin pulangan hasil yang lebih tinggi kepada golongan petani dan nelayan.

Bagi langkah tempoh panjang, kerajaan boleh menyediakan insentif khas untuk mewujudkan satu program “Satu Zon Hijau”bagi setiap daerah dalam negara ini. Tanah-tanah terbiar di setiap daerah boleh dijadikan kawasan bercucuk tanam untuk masyarakat tempatan.

Golongan belia

Program ini bukan sahaja dapat menjamin bekalan barang pertanian dan makanan yang cukup bagi setiap kawasan yang boleh mengurangkan harga, tetapi ia juga dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Jabatan dan agensi berkaitan terutama di bawah MAFI perlu lebih aktif memberikan tunjuk ajar dan bantuan sokongan untuk merancakkan industri pertanian dalam kalangan belia.

Kerajaan tidak boleh selamanya bergantung kepada import untuk memastikan bekalan barang makanan mencukupi di pasaran. Mungkin untuk langkah jangka pendek sekarang, kerajaan boleh menambah import, tetapi ia bukan penyelesaian tuntas apatah lagi dengan kuasa ringgit yang sangat lemah hari ini akibat kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan.

Jumlah import pertanian sebanyak RM50 bilion setahun amat membimbangkan sedangkan negara kita mempunyai ruang dan peluang yang baik untuk memajukan industri pertanian dan makanan.

Kerajaan perlu ada kehendak politik (political will) untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran produk pertanian dan makanan tempatan bagi menjamin keselamatan makanan negara.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.