Malaysia Dateline

Kerajaan perlu buat ujian ke atas pekerja asing, pinta Mohamad Sabu

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan penularan wabak Covid-19 perlu diperangi bersama secara bersepadu oleh rakyat di negara.

Sekiranya masih memegang jawatan tersebut ketika pandemik Covid-19 ini, Mohamad Sabu berhasrat meminta pihak kerajaan untuk melakukan saringan wabak itu kepada pekerja warga asing.

“Memang Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sekarang beliau bercakap bagi pihak keselamatan kerana ketika ini mereka dipanggil Kluster Keselamatan.

“Kalau saya masih menjadi menteri, mungkin juga akan bercakap sekerap itu. Tetapi satu perkara kalau saya berada di tempat Ismail Sabri, saya minta untuk lakukan saringan Covid-19 kepada pekerja asing.

“Tidak lengkap kalau kita tidak memeriksa (saringan) wabak ini kepada orang asing. Contohnya, kita menjaga jarak dan pergi membuat saringan, tetapi hari-hari kita pergi ke pasar mini. Di situ pekerjanya adalah orang luar seperti Bangladesh dan Nepal,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian dalam sesi temu bual santai bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menerusi Facebook Live, malam tadi yang membincangkan pelbagai isu semasa.

Mengulas lanjut, Presiden AMANAH itu turut mempunyai persoalan adakah pekerja-pekerja warga asing menjalani saringan wabak atau tidak.

“Sebab itu di Singapura, kes Covid-19 ini begitu tinggi kerana mereka (kerajaan Singapura) memeriksa semua pekerja-pekerja yang duduk di rumah, penempatan kongsi.

“Kadang-kadang mereka ini ada yang memakai topeng muka dan ada juga yang tidak memakai topeng.

“Jadi, kita tidak tahu mereka itu sama ada bebas daripada Covid-19 atau tidak, sebab itulah angka (Covid-19) di Singapura begitu tinggi kerana mereka memeriksa penempatan kongsi ini,” ujar Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.