Malaysia Dateline

Kerajaan perlu dapatkan persetujuan PH sebelum bentang Belanjawan 2022

Kerajaan perlu berunding dengan dengan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu sebelum Belanjawan 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, hal tersebut terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan PH yang dimeterai pada 13 September lalu.

“Dia (kerajaan) kena bincang dan dapatkan persetujuan dengan PH terlebih dahulu sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

“Kalau dia dah dapat persetujuan kita, bagaimana kita hendak bangun menolaknya sedangkan kita telah menghasilkan satu belanjawan bersama,” katanya dalam forum di FB Studio Dahsyat semalam.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menyifatkan kerajaan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini sangat memerlukan PH dalam menyediakan Belanjawan 2022.

“Kerajaan PN – BN ini amat memerlukan bantuan kita untuk merangka satu belanjawan yang dapat memulihkan ekonomi negara dan menangani pandemik,” tegasnya.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional berkata, MoU tersebut membolehkan reformasi yang PH mahukan tercapai.

Antaranya, jelas beliau, Rang Undang-undang Anti-Lompat, Undi 18 yang telah pun diluluskan sebelum PH dijatuhkan serta soal menghadkan tempoh Perdana Menteri.

“Segala perkara tersebut tidak boleh dicapai tanpa adanya dua pertiga majoriti. Bagaimana nak dapat dua pertiga majoriti? Kerajaan dan pembangkang kena bekerjasama.

“Jadi, untuk mencapai matlamat itu maka kita adakan MoU. ‘Kamu’ luluskan perkara-perkara ini, maka PH bekerjasama untuk menghasilkan belanjawan yang berkesan yang kamu (kerajaan) tidak mampu hasilkan sendiri.

“Setelah mendapat persetujuan, kita tidak akan bangkang (Belanjawan 2022),” kata Khalid lagi dalam forum dimoderatorkan Omar Mokhtar A Manap itu.

Dua lagi ahli panel terlibat dalam slot Dari Studio Dahsyat Jalan Kapar itu ialah Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer.