Kerajaan perlu hapuskan undang-undang zalim segera

Kerajaan perlu hapuskan undang-undang zalim segera

Mahasiswa Keadilan Malaysia menuntut agar Kerajaan Malaysia segera menunaikan janji ke-27 dalam Manifesto Buku Harapan (PH) iaitu menghapuskan undang-undang zalim.

Haissazc Shuqkin Hisham

Timbalan Presidennya, Haissazc Shuqkin Hisham berkata, dalam membina Malaysia Baharu, undang-undang yang zalim dan menyekat kebebasan bersuara biarpun suara mereka yang dizahirkan adalah sesuatu yang luar daripada norma kebiasaan rakyat Malaysia dan sering menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Betul, kita rakyat Malaysia dan menjadi kewajipan kita untuk memastikan sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen dipertahankan dengan segala usaha dan daya kerana inilah yang membentuk negara kita sehingga dikenali dunia oleh kerana kepelbagaian kaum dan etnik yang masih lagi hidup aman dan damai dibawah satu kerajaan yang bekerja untuk rakyat dan negara.

“Namun, dalam kita menyebut soal demokrasi, membalas hujah yang dilihat sensitif dengan undang-undang yang jelas menjerat individu tersebut adalah satu tindakan yang sangat tidak relevan. Kita dalam usaha membina sebuah negara Malaysia yang berfungsi untuk semua, majoriti dan juga untuk minoriti.

“Setiap warganegara Malaysia mempunyai hak untuk menzahirkan pandangan dan berpendapat dalam sesuatu isu yang mereka lihat penting untuk kita perhalusi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, Mahasiswa Keadilan Malaysia menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Kanun Keseksaan 1997, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan lain-lain akta yang berbentuk mencengkam kebebasan hak sebagai seorang warganegara yang telah termaktub dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dihapuskan.

Selain itu, tambah beliau, Mahasiswa Keadilan Malaysia juga ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar dalam usaha kerajaan Malaysia membina sebuah Negara yang berfungsi untuk semua di bawah sistem demokrasi, janganlah mengambil mudah dan kesempatan dalam kita menzahirkan pendapat dan pandangan.

“Hak yang diberikan kepada rakyat dibawah Perlembagaan hadir bersama dengan tanggungjawab dan amanah.

“Maka, rakyat Malaysia harus diingatkan dalam kita menyemai kembali makna sebenar demokrasi dalam negara, jangan pula kita rosakkan kerja pemulihan ini dek kerana kita mengambil mudah hak yang telah dihadiahkan kepada kita,” katanya.

CATEGORIES
TAGS