Kerajaan perlu jelaskan penyebaran CCTV insiden serangan Kim Jong-nam

Kerajaan perlu jelaskan penyebaran CCTV insiden serangan Kim Jong-nam

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub mahu kerajaan menjelaskan bagaimana rakaman CCTV yang memaparkan pembunuhan abang tiri presiden Korea Utara, Kim Jong-nam boleh terlepas ke tangan media antarabangsa yang boleh mencemarkan imej negara.

Katanya, sama ada video itu secara fizikal atau melalui apa sekalipun boleh bolos kepada tangan pihak asing adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku di negara ini.

“Peristiwa malang ini akan mengakibatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan kita akan menjadi semakin menurun.

“Ia juga melibatkan integriti negara kita di mata dunia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini

Salahuddin AyubKatanya lagi penyebaran video itu di beberapa negara seperti di Jepun dan Singapura akan terus mencalarkan imej negara yang semakin buruk.

“Paling saya bimbang ada pihak-pihak nanti akan mengambil kesempatan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pembunuhan politik.

“Ini yang sangat kita bimbang,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan amalan salah guna kuasa atau rasuah menjadi sebab mengapa rakaman CCTV itu bocor.

“Saya sangat bimbang budaya rasuah semakin berleluasa dalam negara kita. Saya rasa orang tidak takut, pegawai tempatan atau pihak lain yang memang sentiasa mencari peluang sama ada melakukan jenayah, salahguna kuasa dan mereka tidak takut.

“Asalkan ada imbuhan, wang yang munasabah, mereka boleh dapatkan apa sahaja dari negara kita.

“Itu yang saya paling bimbang bahawa amalan ni telah menjadi suatu yang mengancam keselamatan negara. Rasuah telah menjadi musuh negara,” katanya.

Salahuddin berharap pihak bertanggungjawab khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak akan tampil menjelaskan perkara ini kepada rakyat.

“Bagi saya ia bukan satu isu kecil. Bukan satu perkara yang boleh diremehkan atau dipandang ringan.

“Ini merupakan satu isu melibatkan integriti, maruah, keselamatan negara. Bagi saya adalah terlalu malang sekiranya negara kita terus dicemuh dengan tragedi atau insiden seperti ini,” katanya.

TAGS