Malaysia Dateline

Kerajaan perlu maklumat terperinci penolakan sisa radioaktif Lynas oleh Australia

Kerajaan perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai kenyataan kerajaan Australia Barat yang dilapor tidak mahu menerima sisa radioaktif daripada loji pemprosesan unsur nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini, pihaknya perlu berbincang dengan kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengenai perkara itu.

Semalam sebuah portal berita tempatan melaporkan Menteri, Perlombongan, Petroleum, Tenaga dan Hubungan Industri Australia Barat, Bill Johnston sebagai berkata Australia tidak akan mengambil sisa itu dari luar negara sementara mengakui cara terbaik melupuskan sisa itu adalah dengan mengembalikan ke tempat asalnya.

Bulan lepas, Timbalan Menteri MESTECC Isnaraissah Munirah Majilis memaklumkan menterinya Yeo Bee Yin telah mengutus surat kepada pihak Australia pada 26 Feb lepas untuk bekerjasama dalam memastikan sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd dikembalikan ke negara itu.

Kerjasama itu bagi mencari jalan dalam usaha memudahkan proses pengeluaran sisa “Water Leached Purification” (WLP) yang dihasilkan kilang Lynas, yang sepatutnya dihantar ke Australia sebelum September ini sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan operasi syarikat itu.

Selain WLP, loji Lynas turut menghasilkan sisa ”non-radioactive neutralisation underflow (NUF)”. Sehingga Disember 2018, jumlah sisa WLP yang terkumpul di kemudahan Lynas adalah 451,564 tan metrik sementara sisa NUF terkumpul adalah sebanyak 1.113 juta tan metrik.