Kerajaan perlu peka kedaifan usahawan bumiputera

Kerajaan perlu peka kedaifan usahawan bumiputera

Kerajaan Pakatan Harapan diharap dapat meningkatkan lagi kepedulian kepada usahawan-usahawan kecil terutamanya Bumiputera di Pulau Pinang.

Pengerusi Kumpulan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Nor berkata, polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini bagi memudahcara segala proses permohonan bagi mendapat bantuan dana perlu dipermudahkan lagi oleh kerajaan kini.

“Bagi Pulau Pinang sahaja seramai 75 usahawan PUNB aktif dalam pelbagai sektor sedang bergelut dengan bermacam-macam permasalahan.

“Untuk seluruh kawasan Kulim, Bandar Baharu, Parit Buntar, Selama sehinggalah ke Pulau Pinang kita mempunyai seramai 231 usahawan aktif.

“Ini termasuklah sektor peruncitan, pemborongan dan juga pembuatan, ” jelasnya.

Beliau juga menyatakan dana yang disediakan oleh PUNB bagi membantu usahawan bermula serendah RM1 ribu sehinggalah RM5 juta.

Oleh kerana itu ujarnya, dana yang telah disalurkan sebelum ini oleh PUNB banyak membantu melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.

“Kami optimis kerajaan kini mampu untuk meningkatkan lagi sokongan agar jurang ekonomi yang amat ketara antara usahawan Bumiputera dengan bukan Bumiputera dapat dikecilkan jurang sedia ada.

“Sehubungan itu sokongan yang seharusnya diberikan bagi memastikan jurang yang amat luas tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Ini termasuklah turun padang dan melihat betapa sukar dan peritnya kedudukan usahawan kecil Bumiputera yang terpaksa bersaing dalam kedudukan ekonomi yang tidak menentu, ” tegasnya.

Abdullah yang juga merupakan Bendahari Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras) turut menyatakan selain dari sokongan dalam bentuk dana, nasihat dan sistem urus selia yang lebih baik perlu juga diberi prioriti melalui agensi kerajaan yang ada.

Yang pasti katanya, cadangan untuk menghapuskan mana-mana dana bantuan kerajaan terdahulu melalui agensi kerajaan perlu dikaji semula tanpa menjejaskan taraf hidup dan ekonomi usahawan yang amat mengharapkan dokongan.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote