Malaysia Dateline

Kerajaan perlu pertimbang menerima imigran tanpa dokumen

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini perlu mempertimbangkan usaha pihak yang ingin kerajaan menerima pekerja imigran tanpa dokumen untuk berkerja di sini.

Perkara itu dinyatakan oleh Adun Perling, Cheo Yee How dalam satu kenyataannya yang mendakwa bahawa sekiranya kerajaan menerima cadangan tersebut ia akan membawa masalah dalam negara ini.

Alasan yang diberikan Cheo adalah berkenaan dengan rekod imigran tersebut yang akan menjadi kesulitan apabila berlakunya sesuatu di luar jangka.

“Kita sedar kesulitan untuk mengadakan tenaga kerja ini wujud namun cadangan sebegitu tidak mendatangkan kesan yang baik apatah lagi ia berkaitan dengan pendatang tanpa dokumen.

“Seramai lebih 4 juta imigran di negara ini dan separuh daripadanya tidak ada dokumen, ini sangat membimbangkan kerana sekiranya berlaku apa-apa pastinya kita susah untuk mengetahui rekod mereka.

“Kelonggaran ini tidak munasabah untuk diterima oleh kerajaan. Sekiranya permasalahan soal pekerja yang tidak mencukupi itu bukanlah alasan yang baik untuk membuatkan pengusaha mencari alasan menerima imigran tanpa dokumen,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk berbincang dengan pengusaha pasar-pasar borong agar permasalahan soal pekerja ini dapat diselesaikan.

Beliau menyatakan faktor gaji yang diberikan juga memainkan peranan untuk pekerja tempatan tidak mahu berkerja dalam sektor tersebut.

“Ada saja orang kita yang mahu berkerja dalam sektor 3D (berbahaya, kotor dan sukar) kerana gaji yang diberikan setimpal dengan kerja yang mereka lakukan.

“Kerajaan juga perlu menyemak semula perkara ini kerana kita khuatir itu hanyalah alasan pengusaha sedangkan mereka juga tidak berusaha untuk mencari jalan menyelesaikan perkara tersebut dan mengambil langkah mudah.

“Imigran walau bagaimana pun perlu berdaftar atau ada dokumen dan sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, kerajaan PN yang ada hari ini akan dianggap lemah.

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan mendapatkan rekod sebahagian besar imigran yang tidak ada dokumen di negara ini agar sebarang aktiviti atau permasalahan yang berlaku dari imigran tersebut dapat dipantau,” jelasnya lagi.