Malaysia Dateline

Kerajaan perlu rombakan kabinet, bukan bubar parlimen, kata penganalisis politik

Kerajaan perlu merombak menteri kabinet untuk memastikan Pakatan Harapan akan terus mendapat sokongan rakyat untuk terus berada di tampok kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

Beliau berkata, sokongan rakyat terhadap kerajaan masih utuh walaupun sedikit kecewa dengan prestasi kerajaan yang lambat melunaskan janji manifesto pada PRU14 lalu.

“Selepas setahun lebih Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan prestasi yang sederhana, saya fikir Perdana Menteri perlu mempertimbangkan melakukan rombakan kabinet dengan menggantikan beberapa orang menteri yang tidak efisen serta melakukan perubahan struktur portfolio kementerian dengan tujuan untuk menambah baik prestasi kabinet.

“Ini lebih penting daripada melayan desakan pembangkang yang mahu kerajaan mengadakan PRU-15 lebih awal,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dr MazlanAli
Dr Mazlan Ali

Beliau diminta mengulas mengenai desakan pembangkang agar Dr Mahathir membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya lebih awal atas dakwaan kerajaan yang dibentuk oleh PH gagal mentadbir negara dengan baik dan gagal menangani isu rakyat seperti kos sara hidup, perpaduan kaum dan agama.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan, kekecewaan rakyat itu hanya bersifat sementara.

Katanya lagi,  rakyat yang merasa kecewa dengan PH hari ini akan kembali menyokong kerajaan apabila kerajaan berjaya memulihkan ekonomi dan memperbaiki kehidupan rakyat melalui polisi yang berkesan.

“Asasnya, naratif yang dibina oleh pembangkang sekarang kononnya rakyat menolak kerajaan adalah semata-mata persepsi dan perang saraf. Sudah pasti hanya pengundi tertentu sahaja yang terpengaruh iaitu Melayu luar bandar dan pengundi subjek.

“Namun hakikatnya di luar sana, terdapat jutaan pengundi atas pagar yg telah memenangkan PH dalam PRU14 lalu, masih bersikap tunggu dan lihat. Mereka akan kembali menyokong kerajaan bila kerajaan berjaya mengatasi masalah negara dan kembali mewujudkan kemakmuran,” ujarnya

Ditanya kewajaran pembangkang mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen, Dr Mazlan menambah permintaan sedemikian tidak wajar dilayan oleh kerajaan Malaysia Baharu.

“Tun Dr Mahathir tidak perlu melayan sebarang cabaran atau permintaan daripada Umno-Pas untuk mendesak beliau membubarkan Parlimen lebih awal kerana tindakan itu (membubarkan Parlimen) akan menyusahkan rakyat serta memakan kos yang besar kerana PH mempunyai mandat selama lima tahun untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“Sejak berakhirnya PRU pada 9 Mei 2018 yang lalu, kita menyaksikan berlaku banyak PRK di seluruh negara dan rakyat tidak memerlukan satu lagi PRU yang akan merencatkan semangat demokrasi dan mandat lima tahun sekali yang diperuntukkan perlembagaan.

“Saya yakin sekiranya PH berjaya menjadikan baki tempoh pemerintahan sehingga 2023 dengan fokus penuh kepada usaha membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat, mereka mampu terus berkuasa pada penggal berikutnya dengan kuasa majoriti lebih dua pertiga di dewan rakyat.

“Ini kerana politik hari ini yang bersikap terbuka, perkembangan sosio-ekonomi, pendidikan, media dan pemikiran, parti yg bersifat rentas kaum seperti PH lebih diterima berbanding parti perkauman dan agama seperti Umno dan Pas.

“Dengan syarat, kerajaan PH lebih fokus membangunkan negara dan mewujudkan kemakmuran serta kesejanteraan hidup rakyat, maka majoriti rakyat bakal menyokong dan mengekalkan pemerintahan PH,” terangnya.

Tambah Dr Mazlan lagi, selepas lebih setahun pemerintahan PH, beliau menilai pencapaian kerajaan adalah sederhana.

Bagi memastikan rakyat terus menyokong kerajaan, beliau memberitahu, beberapa usaha perlu difokus dan dijayakan oleh PH jika ingin terus kekal berkuasa.

“Pertamanya PH perlu meningkatkan lagi ekonomi negara untuk menghasilkan kemakmuran kepada rakyat seperti tingkatkan pendapatan dan mengekang inflasi.

“Keduanya memperbaiki kehidupan rakyat dengan menambah peluang pekerjaan dan mengurangkan kos kehidupan. Mengawal harga barang dan harga minyak.

“Ketiga perlu meningkatkan lagi efisensi pengangkutan awam seperti pakej yang murah dan mengurangkan kadar tol

“Keempat perlu menambah kecekapan pentadbiran dan integriti kakitangan awam dan meningkatkan mutu khidmat kepada rakyat.

“Kelima Kerajaan perlu mengawal anasir-anasir yang memecahbelahkan keharmonian rakyat seperti bertindak tegas terhadap individu atau kumpulan yang cenderung bermain dgn isu parkauman dan agama,” saran Dr Mazlan.