Kerajaan perlu sahut cabaran buka semula kertas siasatan tiga pembunuhan kaitkan Najib

Kerajaan perlu sahut cabaran buka semula kertas siasatan  tiga pembunuhan kaitkan Najib

Kerajaan wajar menyahut cabaran yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak agar membuka semula kertas siasatan kematian Husain Najadi Altantuya Shaaribu dan  Kevin Morais.

Desakan ini perlu dilihat secara positif oleh semua pihak bagi menzahirkan suasana politik yang jauh dari fitnah supaya tidak ada mana-mana pihak yang dizalimi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Salman Siddiqiy Mohd Azmi ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, suasana yang ada dalam negara tatkala ini berbentuk persepsi politik yang telah pun menjadi sebati termasuk diguna pakai dalam pilihan raya umum yang lalu.

Salman Siddiqiy Mohd Azmi

Justeru itu ujarnya, sudah sampai masanya bagi kerajaan Pakatan Harapan memperlihatkan keterbukaan yang telah dilaung-laungkan sejak sekian lama sebagai suatu realiti yang dapat direalisasikan.

“Apabila Najib mahukan supaya dibuka semula kertas siasatan kematian tersebut, ia harus diberi peluang sebagai Muslim untuk membesihkan namanya sekiranya ia berada dipihak yang benar.

“Laungan yang sering didombakan sebelum ini untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang telus dan rahmat untuk sekelian alam mesti dibuktikan dengan keterbukaan tersebut.

“Sejak kebelakangan ini majoriti rakyat dalam negara ini melihat media sosial dalam berbentuk pesepsi tanpa bukti dan diterima pakai, ” tegasnya lagi.

Namun begitu katanya, amat malang kerana perkara sebegini tidak berlandaskan seperti apa yang diarahkan oleh Islam termasuk mendakwa dengan bukti yang sahih.

“Tidak dapat dinafikan banyak dakwaan kalah dalam perbicaraan setelah dibawa ke mahkamah.

“Gesaan membuka semula kertas siasatan ini harus dilaksanakan dengan segera kerana ia bukan saja melibatkan nama negara dan bangsa tetapi juga kredibiliti pendakwaan dan keadilan.

“Walaupun terdapat beberapa pendekatan yang tidak dipersetujui dengan bekas Perdana Menteri tersebut, atas dasar tuntutan keadilan sejajar dengan tuntutan Islam, maka ia perlu diberi ruang untuk dibicarakan, ” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, pembukaan semula kertas siasatan tersebut juga amat dialu-alukan dan dinanti-nantikan oleh sebahagian besar rakyat dalam negara ini yang ingin tahu kedudukan sebenar mengenai pembunuhan yang didakwa mengaitkan nama Najib secara meluas sebelum ini.

Baru-baru ini Lim Kit Siang telah membuat gesaan supaya kerajaan membuka semula kertas siasatan beberapa pembunuhan misteri termasuklah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kematian tersebut.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0