Malaysia Dateline

Kerajaan perlu sediakan subsidi bersasar golongan pendapatan rendah, kata Pemuda AMANAH Selangor

Pemuda AMANAH Selangor berharap kerajaan akan dapat menyediakan subsidi bersasar untuk golongan berpendapatan rendah, terutamanya golongan yang baru melangkah ke alam rumah tangga.

Perkara itu disuarakan Pengarah Biro Sumber Pembangunan dan Sumber Manusia,, Nabil Norhalim menjelang Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat depan, yang akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Nabil berkata, golongan telah berkahwin menanggung kos yang tinggi terutamanya untuk membeli barangan penjagaan anak, lebih-lebih lagi bayi yang baru sahaja lahir.

Nabil Norhalim

“Kemudian kita hantar anak ke pengasuh dan anggaran upah yang perlu dibayar adalah sekitar RM400. Kalau boleh dalam bajet kali ini, kerajaan memberi subsidi bersasar untuk keperluan anak-anak atau bayi.

“Kalau upah dalam RM350 ke bawah untuk pengasuh menjaga anak, saya lihat ia adalah jumlah yang masih lagi berpatutan. Kalau melebihi RM350, ia nampak seolah-olah cuba mengambil keuntungan,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai harapan anak muda menjelang Sesi Pembentangan Bajet yang akan diadakan pada Jumaat depan.

Mengulas lanjut mengenai hasrat anak muda, Nabil turut menyarankan kepada pihak kerajaan supaya menyediakan geran tanah tambahan kepada anak muda di negara ini.

Katanya, geran tanah tambahan itu adalah sebagai kemudahan kepada golongan anak muda mengusahakan tanah-tanah yang terbiar, sekali gus berupaya menjana sumber pendapatan mereka.

“Kami juga sedia maklum bahawa industri pertanian seperti tanaman, ternakan dan juga perikanan sememangnya mempunyai akses kepada peluang pekerjaan.

“Kalau boleh, kami mohon pihak kerajaan supaya menyediakan lagi geran tanah supaya golongan muda di negara kita dapat mengusahakan tanah yang terbiar.

“Kita nak kalau boleh manifesto satu juta peluang pekerjaan itu diterjemahkan dalam bentuk belanjawan. Tahun bila sasaran sejuta peluang kerja itu? Jika ia disasarkan pada 2023, maka maklumkan kepada masyarakat. Jangan lontarkan kata-kata yang bersifat retorik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nabil berkata pihaknya juga masih lagi menunggu pengumuman berkaitan satu juta peluang pekerjaan seperti yang tertulis dalam manifesto.

“Mengenai satu juta peluang pekerjaan seperti yang tertulis dalam manisfesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu, kami masih lagi menunggu bila ia akan dapat direalisasikan.

“Pada pendapat saya, gaji yang perlu diberikan kepada pekerja paling rendah adalah RM3,000 ke atas dan bukannya mendapat gaji berjumlah RM1,100,” ujarnya.

Pada bajet 2020 kali ini, beliau turut mengharapkan kerajaan memberikan subsidi petrol bersasar dan yuran taska dikurangkan kerana kerajaan telah memberikan subsidi bayaran tenaga elektrik.