Malaysia Dateline

Kerajaan perlu segera mansuhkan Akta Hasutan, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH menggesa kerajaan segera memansuhkan Akta HasutanĀ  ini yang telah lama diperjuangkan secara konsisten oleh parti-parti komponen PH serta menjadi salah satu manifesto PH.

Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemansuhan akta ini penting supaya Malaysia bersih yang mahu dibina hari ini benar-benar dilihat mengangkat agenda kebebasan dan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda AMANAH turut bimbang kemungkinan adanya pejuang atau pemimpin PH lain yang boleh dihukum dibawah Akta Hasutan semata-mata kerana memberikan pandangan atas sesuatu isu sepertimana yang berlaku ke atas pendakwah Wan Ji Wan Hussin.

“Akta zalim yang mahu dimansuhkan ini dilihat tidak adil kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat ianya dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan.

Wan Ji Wan Hussin merupakan penceramah bebas telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara sembilan bulan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim

Mahkamah meminda hukuman tersebut selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji telah didapati bersalah menerbitkan perkataan yang menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk melibatkan isu agama melalui Facebook beliau atas nama wanji.attaaduddi pada 5 November 2012 yang lalu.

Faiz yang juga pengamal undang-undang berkata, Pemuda AMANAH turut terkejut dengan sabitan dan hukuman penjara satu tahun yang dikenakan ke atas Wan Ji Wan Hussin dibawah Akta Hasutan.

Katanya Pemuda AMANAH juga mempersoalkan tindakan pendakwaan yang merayu untuk hukuman yang lebih berat kerana ia tidak konsisten dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan undang-undang drakonian tersebut.

“Pemuda AMANAH juga berharap hukuman penjara ini dapat digantung secepat mungkin kerana Wan Ji mempunyai satu lagi peluang merayu ke Mahkamah Rayuan supaya peluang bagi beliau untuk mendapatkan keadilan tidak sia-sia dengan pelaksanaan hukuman tersebut,” ujarnya.