Malaysia Dateline

Kerajaan perlu selidik secara menyeluruh punca isu bendera Malaysia bintang lima

Isu bendera Malaysia bintang lima yang tular di laman sosial sejak semalam dilihat terus menjadi bahan kecaman masyarakat di negara ini.

Tidak terkecuali, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Dr Muhammad Faiz Na’aman berpendapat, kerajaan perlu menyelidik secara menyeluruh tentang asal (punca) kejahilan yang luar biasa terhadap negara ini.

“Apakah kelompok manusia itu tidak mengendahkan segala perihal kenegaraan negara ini? Sekadar mahu hidup buat untung dan kemudiannya melaungkan slogan hak sama rata serta kebebasan bersuara?

“Jangan pula terkejut jika kita terima laporan ada yang mengaku warganegara Malaysia sejak nenek moyang dahulu, tetapi lupa atau sengaja lupa isi kandungan Rukun Negara, lagu Negaraku (yang pernah dipersenda oleh kelompok manusia yang sama tidak lama dahulu dengan mengubah nama dan liriknya kepada Negarakuku).

“Jika pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas terhadap ‘perlecehan’ simbol-simbol negara, dikhuatiri ia akan meninggalkan kesan.

“Perlecehan itu sama ada sengaja atau tidak, dikhuatiri ia akan terus menjadi fenomena serta provokasi yang mampu memecah-belahkan malah mengelirukan masyarakat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz menambah, jika kes yang sama terjadi di negara luar, contohnya di Thailand atau Indonesia, silap hari bulan ada yang kena kepung, ada yang terbakar, paling tidak pun diheret supaya membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Betapa sayangnya warganegara luar terhadap simbol-simbol negara mereka. Sudah tiba masanya elemen-elemen kebangsaan negara ini diperkasakan tanpa kompromi supaya semua lapisan warganegara dapat bersatu padu, saling hormat-menghormati dan tidak hidup dalam kelompok kaum sendiri,” ujarnya lagi.

Menurut Faiz lagi, beliau tidak mahu melihat Bahasa Kebangsaan disama-tarafkan dengan bahasa ibunda mana-mana kaum yang datang dari luar sfera nusantara ini.

“Kerajaan juga perlu membanteras fenomena syarat pekerjaan dalam negara ini yang mahu bahasa , selain Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Rakyat Malaysia tidak wajar memandang enteng sebarang kes yang melibatkan simbol-simbol kebangsaan negara ini, kerana negara bertuah ini perlu dihormati dan disyukuri oleh manusia-manusia yang mendabik dada sebagai ‘Malaysian’,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian Online hari ini, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

“Semasa majlis perasmian itu, pasukan penyiaran kami secara tidak sengaja mempamerkan bendera Malaysia yang salah di skrin TV stadium kami,” katanya.

Bendera Malaysia dengan lima bintang itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Sejak malam tadi video berdurasi 1 minit 42 saat itu tular di media sosial.