Malaysia Dateline

Kerajaan perlu tambahbaik ASB, tingkatkan ekonomi Bumiputera miskin

Kerajaan perlu menambahbaik Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk menggalakkan simpanan dan meningkatkan kekayaan golongan itu yang miskin dengan memiliki kepentingan yang lebih besar dalam ekonomi negara.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, ini kerana ia merujuk kepada beberapa fakta mengenai ASB yang memerlukan kerajaan memberi tumpuan semula kepada Bumiputera miskin dan sederhana.

Beliau berkata, hampir 80 peratus (7.4 juta) pemegang unit ASB mempunyai unit bernilai kurang RM5,000 pada 2018, dan 0.24 peratus yang mempunyai unit bernilai RM500,001 dan ke atas.

Nik Nazmi Nik Ahmad

“Pemegang unit ASB yang dalam kalangan B40 dan hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

“Oleh itu, sementara pekali Gini nasional (ukuran ketidaksamaan) telah bertambah baik dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016, pekali Gini di ASB adalah 0.84 atau sangat tidak sama rata.

“Terdapat keperluan untuk mempertimbangkan had bayaran dividen kepada pelaburan maksimum yang dibenarkan (bukannya meletakkannya pada baki sebenar akaun, walaupun ia melebihi pelaburan maksimum yang dibenarkan sebanyak RM200,000),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan itu lagi, satu langkah yang boleh dipertimbangkan dalam jangka masa sederhana adalah untuk menjadikan dividen ASB ‘bertingkat’.

Ia memberi maksud, pemegang unit yang secara sosi-ekonomi diklasifikasikan dalam kumpulan B40 dan M40 diberi dividen yang lebih tinggi berbanding pemegang unit T20.

Namun katanya, langkah tersebut tidak sepatutnya dianggap sebagai satu cubaan untuk ‘menghukum’ golongan Bumiputera T20, terutamanya jika selama ini mereka bersedia dan sanggup untuk menyimpan wang mereka serta menyokong ASB.

Sebaliknya beliau berkata, ini untuk memastikan ASB menjadi saluran yang cekap untuk menaikkan Bumiputera B40 dan memberikan M40 rangsangan tambahan apabila mereka memerlukannya.

“Hakikatnya, bertentangan dengan gambaran umum, jurang kaya-miskin bersifat pelbagai dimensi: termasuk antara kumpulan etnik, dan juga dalam setiap kumpulan etnik-termasuk antara golongan Bumiputera.

“Skim-skim pinjaman dari bank-bank untuk Bumiputera meminjam dan melabur ke dalam ASB juga harus dipertimbangkan semula kerana khuatir ia akan mengeruhkan lagi suasana sekiranya keadaan pasaran dunia dan tempatan dalam keadaan gawat. Bank tidak seharusnya meraih keuntungan daripada kerugian rakyat biasa,” ujarnya.

Malah, ujarnya lagi, tidak ada gunanya memperoleh kekayaan untuk Bumiputera jika ia tertumpu pada T20, atau jika kekayaan itu diagihkan dengan cara yang mengurangkan keberkesanannya.

Beliau menegaskan, perubahan harus dilakukan untuk memastikan bahawa kekayaan yang dihasilkan oleh PNB lebih fokus untuk memajukan golongan Bumiputera B40 dan M40.

“Saya harap Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Yayasan Pelaburan Bumiputera dan PNB akan memberi isu ini pertimbangan yang teliti menjelang tahun 2020,” katanya.