Malaysia Dateline

Kerajaan perlu tangani segera isu kejatuhan gaji graduan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu bertindak segera menangani masalah kejatuhan gaji graduan yang dilaporkan merosot sebanyak 40 hingga 50 peratus sehingga berada di bawah paras gaji minima.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, kerajaan tidak boleh terus menunggu tindakan pasaran swasta dalam isu gaji pekerja terutama kepada graduan pemegang ijazah sarjana muda di Malaysia

Bukan setakat anak muda, malah katanya, ramai pekerja sedia ada telah terjejas teruk akibat kemelesatan ekonomi dan impak Covid-19.

“Memandangkan inflasi dijangka meningkat tahun ini akibat harga petrol dan diesel yang lebih tinggi, kuasa beli rakyat akan terus dihimpit.

“Persoalannya, apakah langkah intervensi kerajaan PN dalam isu ini? Adakah kerajaan akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif sementara untuk menyuntik tunai secara terus kepada anak muda yang bekerja?

“Anak muda menantikan pengumuman baharu daripada kerajaan yang masih membisu dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan bahawa gaji permulaan bagi graduan menurun pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya susulan ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19

Jumlah graduan yang memasuki alam pekerjaan tahun lalu dilaporkan turut merosot, begitu juga kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan graduan muda.

Mohd Uzir juga menyatakan bahawa majoriti pemegang ijazah sarjana muda menerima hanya RM1,001 hingga RM1,500 pada tahun 2020 berbanding RM2,001 hingga RM2,500 pada tahun 2019.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam responnya berhubung isu berkenaan berkata, golongan siswazah yang mempunyai perkerjaan dengan gaji rendah waktu ini perlu bersyukur.

Beliau berkata, ini berikutan pasaran kerja tahun lepas lemah akibat ekonomi negara yang menguncup kepada 5.6 peratus.

Sementara itu, Faiz menegaskan bahawa Malaysia memerlukan satu dasar jangka panjang yang bersasar untuk memastikan kadar peningkatan gaji rakyat negara ini melebihi peningkatan produktiviti.

Beliau turut mengajak rakyat terutama anak muda untuk menuntut perubahan jika kerajaan PN gagal tangani isu tersebut dengan serius dan berkesan.

“PH telah menunjukkan satu tindakan serius membaiki sosioekonomi golongan muda dengan meningkatkan paras gaji minima kepada RM1,100 hingga RM1,200.

“Sentimen ekonomi harus diangkat mengatasi sentimen perkauman mainan PN,” katanya lagi.