Pelbagai persoalan timbul selepas kerajaan mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan dibuka pada Oktober akan datang.
Timbul tanda tanya dalam kalangan pelajar, waris mahu pun guru, apakah kewajarannya membuka sesi persekolahan dengan angka kes harian positif Covid-19 menjangkau 20,000 dengan kes kematian melebihi 300.
Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berpendapat adalah sangat tidak wajar sesi persekolahan dibuka dengan jangkaan kerajaan Malaysia akan memasuki fasa endemik Covid-19 pada Oktober depan.
Menurutnya, definisi epidemiologi sangat penting kerana ia bakal menentukan bukan sahaja polisi kesihatan, tetapi juga polisi kehidupan rakyat.
“Epidemik sebenarnya adalah penyakit atau jangkitan yang telah ada secara konstan, meluas dan tinggi dalam komuniti termasuklah kawasan, daerah dan juga negeri. Epidemik melibatkan kesan atau jangkitan yang besar dalam komuniti.
“Manakala endemik pula adalah penyakit atau jangkitan yang telah sentiasa ada dan meluas dalam komuniti termasuklah kawasan, daerah maupun negeri, tetapi ianya stabil. Jika ianya endemik maka sesi persekolahan adalah wajar dibuka.
“Harus difahami apabila Malaysia berada pada tahap kemuncak epidemik dan memegang status ‘top 5’ berdasarkan jumlah melebihi 20,000 kes sehari dan lebih 300 kematian ia tidak sesuai untuk sesi persekolahan dibuka,” jelasnya.
Sejajar dengan itu kata beliau, sebaik-baiknya sesi persekolahan dibuka hanya apabila negara sudah bebas dari epidemik atau sekurang-kurangnya hampir mencapai status endemik.
Beliau yang juga pengamal perubatan berkata, sebaik-baiknya biarlah peratus vaksinasi setiap kawasan, daerah, negeri mahupun negara telah mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dewasa telah divaksin ataupun menjangkau 90 peratus.
Sehubungan itu sarannya, adalah lebih baik bagi Kementerian Pendidikan menangguhkan terlebih dahulu sesi persekolahan sehingga tahun 2022 yang akan datang dengan jangka tempoh singkat hanya tiga bulan lagi sebelum menjelangnya sesi persekolahan yang baru.