Malaysia Dateline

Kerajaan perlu tarik semula larangan eksport tenaga RE ke Singapura

Kerajaan sepatutnya membenarkan eksport tenaga boleh diperbaharui (RE) ke Singapura untuk menarik lebih banyak pelaburan dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan hijau.

Bermula penghujung 2018, Malaysia telah terlibat secara proaktif dengan Singapura berkenaan eksport RE ke negara itu sehinggalah berlakunya Langkah Sheraton.

Malahan, perdagangan RE juga termasuk dalam salah satu agenda dalam setiap kali perbincangan dua hala bersama pihak Singapura semasa saya menyandang jawatan menteri.

Ketika itu, kami menjangkakan Singapura akan memerlukan lebih banyak RE dalam campuran tenaga elektrik mereka, disebabkan trend peningkatan komitmen terhadap neutraliti karbon oleh syarikat-syarikat multinasional, dan banyak di antaranya ibu pejabat Asia atau Asia Tenggara adalah terletak di Singapura.

Manakala, kita pula berhasrat untuk mengeksport RE sebagai satu lagi cabang untuk merancakkan lagi sektor ekonomi dan pekerjaan hijau di negara ini.

Seperti yang dijangkakan, pada 25 Oktober 2021, kerajaan Singapura mengumumkan hasrat untuk mengimport sehingga 4 GW RE berkarbon rendah menjelang 2035.

Potensi pasaran eksport ini jika dapat dimanfaatkan sepenuhnya, mampu menjana sehingga RM 6 billion dalam bentuk pelaburan swasta dan juga hampir 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Tentunya, Malaysia mungkin tidak akan dapat menikmati keseluruhan angka tersebut. Namun, berdasarkan kedudukan geografi Malaysia yang sangat berhampiran dengan Singapura, saya percaya kita tetap akan dapat mengecapi sebahagian besar kalau tidak semua daripada jumlah tersebut.

Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba, kerajaan Malaysia mengumumkan larangan eksport RE pada Oktober 2021.

Saya pernah ajukan di Parlimen mengenai rasional di sebalik keputusan ini. Jawapan yang saya terima adalah eksport RE (termasuk kredit karbon yang termasuk dengan RE yang dieksport) akan menjadi penghalang kepada usaha Malaysia dalam mencapai sasaran pengurangan karbon berdasarkan National Determined Commitment (NDC) yang termaktub dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Jawapan ini adalah tidak munasabah. Secara keseluruhan, di Malaysia, potensi tenaga solar, biotenaga dan hidrokuasa kecil yang belum diterokai masing-masing adalah sebanyak 269 GW, 3.6 GW and 2.5 GW. Sebagai perbandingan, kapasiti jana kuasa sedia ada di seluruh negara setakat tahun 2020 hanya 34.6 GW – merangkumi 27.2 GW di Semenanjung Malaysia, 5.7 GW di Sarawak and 1.7 GW di Sabah. Jadi, potensi untuk RE yang belum diterokai sahaja boleh menjana lebih 8 x Malaysia!

Secara ringkasnya, Malaysia mampu untuk mencapai NDC dan pada masa sama mengeksport RE dalam jumlah yang besar.

Energy Market Authority (EMA) Singapura telah mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) yang pertama pada 12 November 2021, untuk mengimport sehingga 1.2 GW tenaga elektrik. Tarikh tutup penghantaran RFP adalah pada 14 Jun 2022. Pemain-pemain RE yang berpengkalan di Malaysia mungkin akan terlepas pusingan ini.

Manakala RFP yang kedua akan dibuka suku kedua tahun ini.

Saya menyeru kerajaan untuk menarik balik larangan eksport RE supaya pemain-pemain RE yang berpengkalan di Malaysia dapat menyertai RFP yang kedua.

Apabila memenangi bidaan, pemain RE akan membina fasiliti janakuasa RE di Malaysia untuk mengeksport tenaga elektrik ke Singapura. Ini akan memacu lebih banyak pelaburan hijau di Malaysia dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan hijau seperti jurutera, juruteknik, penganalisis dsb.

Baru-baru ini, saya melihat YAB Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet giat pergi ke serata dunia atas nama menarik pelaburan ke negara ini.

Saya harap mereka menyedari peluang yang selama ini terhidang di depan mata dan tidak mensia-siakannya.

Sekiranya kerajaan memerlukan sebarang pertolongan dalam memacu perubahan dari aspek teknikal dan kawal selia yang diperlukan untuk membenarkan eksport RE, saya sedia untuk membantu.