Malaysia Dateline

Kerajaan perlu terima pendedahan garis kemiskinan oleh PBB

Kerajaan perlu mengambil serius dan menerima dengan positif kenyataan laporan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang mendedahkan kadar kemiskinan di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding kadar rasmi iaitu 0.4 peratus.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan tidak sepatutnya bersikap mempertahankan diri dengan mengatakan laporan yang didedahkan tidak realistik dan mendakwa metodologi rasmi menunjukkan kadar kemiskinan masih dan lebih rendah.

Menurut laporan PBB itu, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan garis kemiskinan rasmi Malaysia sebanyak RM980 juga tidak realistik dan kadar kemiskinan sebenar berada dalam kadar 16 hingga 20 peratus.

Memetik kenyataan Alston, ia mustahil, pada zaman ini untuk menyara keluarga dengan hanya RM980 sebulan tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan luar bandar atau bandar, termasuklah untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Sebagai kerajaan yang mendukung reformasi, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bersedia menerima kritikan terbuka atau maklum balas yang dibuat dengan tujuan yang baik terutama apabila menyentuh kebajikan rakyat Malaysia.

“Kerajaan sepatutnya berusaha untuk melibatkan Profesor Alston dan pihak berkepentingan masyarakat sivil yang berkaitan untuk menangani masalah kemiskinan, ketidaksamaan dan peminggitan-yang nampaknya sudah memuncak di Malaysia.

“Mengabaikan pakar-pakar atau bersembunyi di bilik penghawa dingin tanpa cuba menyelesaikan masalah ini bermakna tiada apa-apa yang berubah di era Malaysia Baharu, dan berjuta-juta rakyat Malaysia akan terus menderita kerana kedegilan pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Profesor Alston telah membuat beberapa saranan yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan, termasuk untuk mengkaji semula garis kemiskinan dan mengamalkan dasar ketelusan data yang komprehensif.

Kerajaan juga perlu memperluaskan perbelanjaan perlindungan sosial secara keseluruhan, meningkatkan kualiti pendidikan serta perlindungan dan bantuan yang lebih baik untuk masyarakat Orang Asal tanpa kerakyatan, pendatang dan pelarian.

Justeru itu, Nik Nazmi berharap kerajaan dapat mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih mendalam untuk memerangi kemiskinan, termasuk mengkaji kemungkinan melaksanakan “Universal Basic Income”, subsidi upah serta insentif potongan cukai majikan untuk menaikkan gaji terendah.

“Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengaku untuk membawa pembaharuan atau mengutamakan kepentingan rakyat jika ia tidak menangani isu-isu ini dengan serius.

“Laporan Pelapor Khas tidak boleh diabaikan, disapu di bawah permaidani untuk dilenyapkan, tapi kita perlu bertindak dengan serius,” katanya.-Bernama