Malaysia Dateline

Kerajaan perlu wujudkan ‘command center’ untuk bekalan makanan

Bekalan makanan adalah keperluan asas yang sememangnya menjadi keutamaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Memandangkan keutamaan yang harus diberikan tersebut, Ketua Penggerak Naratif Baru Anak Muda, Ridhuan Esa berkata perlunya dalam keadaan sekarang ini kerajaan menyediakan ‘command center’ untuk bekalan makanan ini dapat disalurkan dengan segera.

Beliau ketika dihubungi berkata tujuan ‘command center’ untuk menjadi pusat agihan makanan yang berkesan kepada mereka yang memerlukan.

“Dalam suasana PKP, pastinya kakitangan agensi kerajaan tidak mencukupi dan terhad serta masalah lain yang berbangkit melambatkan pelaksanaan satu-satu rancangan.

“Oleh yang demikian, Dato Seri Azmin Ali merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan, cadangan seperti menyediakan ‘command center’ ini perlu dipertimbangkan segera.

“Selain itu agensi seperti FAMA boleh dilibatkan dengan program ini kerana mereka pastinya mempunyai data pembekal dan pemborong hasil tani dan ternakan.

“FAMA juga boleh dijadikan pusat informasi dan hasil boleh terus dihantar ke kawasan yang berkeperluan tinggi tanpa perlu dikumpul di pusat pengumpulan FAMA. Ia akan menjimatkan masa dan pergerakan serta mengoptimumkan penggunaan sukarelawan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Tenggara berpendapat Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan telah memberikan sebanyak RM 10 juta kepada FAMA untuk meningkatkan kecekapan pusat pengumpulan dan penyimpanan bekalan makanan hasil tani dan ternakan.

“Selain itu, penyediaan makanan ‘siap’ kepada ‘frontliner’ dan kawasan ‘lockdown’ juga perlu diutamakan dengan kadar yang segera.

“”Pastinya golongan ini kekurangan masa dalam mendapatkan dan menyediakan makanan. Adalah lebih baik dapatkan pengusaha makanan untuk mereka dan bahan mentah disediakan oleh kerajaan melalui sumber cadangan melalui FAMA.

“Selain itu penggunaan seperti ‘Food Panda’ dan ‘Grab’ mampu menjadi penghubung kepada perkhidmatan untuk penghantaran kepada pengguna,” ujarnya lagi.