Kerajaan peroleh RM149 juta selepas jualan tanah DBKL dirundingkan semula

Kerajaan peroleh RM149 juta selepas jualan tanah DBKL dirundingkan semula

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mendapat RM149 juta selepas tanah-tanahnya yang dijual sebelum ini dirundingkan semula oleh kerajaan baru dengan pembeli terbabit.

Keputusan rundingan itu dimuktamadkan setelah tiga sesi perbincangan diadakan antara pasukan Rundingan Khas yang dianggotai pegawai kanan Kementerian Wilayah, Pejabat Menteri Wilayah, Jabatan Peguam Negara dan DBKL dengan pihak syarikat terbabit.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad ketika mengumumkan perkara itu berkata, 23  daripada 97  transaksi telah dirundingkan semula oleh pasukan Task Force yang ditubuhkannya dengan pemaju dan pembeli tanah terbabit.

“Keputusan rundingan ke atas 23 transaksi itu telah meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM149 juta berbanding perjanjian terdahulu di mana syarikat pemaju  membeli tanah dengan harga yang rendah dan merugikan kerajaan.

“Hasil daripada 16 transaksi itu kerajaan dapat RM149 juta ditambah sumbangan korporat sebanyak RM6 juta kepada kerajaan dalam bentuk projek CSR,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Menara DBKL hari ini.

Beliau berkata, daripada 23 transaksi tanah dirunding semula itu, terdapat 19 transaksi berjaya ditmuktamadkan di meja rundingan. Daripada 19 transaksi itu 10 transaksi setuju menyerahkan semula tanah dan kerajaan membayar balik jumlah yang ditentukan, 8 transaksi lagi mahu berunding kembali dan 1 transaksi di bawa ke mahkamah.

Sidang media Khalid bersama KSU Kementerian Wilayah dan Datuk Bandar KL.

KEKALKAN MILIK TANAH

Khalid berkata, 16 tanah yang dimuktamadkan itu buat masa ini tidak akan dijual buat masa ini manakala keuntungan RM149 juta itu akan digunakan untu pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) di Wilayah Persekutuan

“Dengan hasil yang diperoleh itu, ia  boleh dijadikan subsidi untuk projek pembinaan perumahan itu nanti,” jelasnya ketika ditanya media.

Sebanyak 16 transaksi tanah itu melibatkan tanah-tanah di kawasan Kepong  (1) Batu (3), Setiawangsa (2), Titiwangsa (2), Segambut (1), Bukit Bintang (3), Bandar Tun Razak (1), Cheras (2) dan Seputeh (1).

Sebelum ini dilaporkan terdapat 97 transaksi lot tanah DBKL yang dikaji dan disiasat oleh Task Force yang ditubuhkan Kementerian Wilayah.

Daripada jumlah tersebut 43 transaksi dibenar untuk teruskan, 23 dirunding semula, 20 tidak boleh dibuat apa-apa kerana telah selesai tetapi akan disiasat oleh SPRM, 10 transaksi dibatalkan dan satu transaksi dibawa ke mahkamah oleh pemaju.

Luas keseluruhan 97 lot tanah itu adalah 675.27 ekar meliputi 1.1 peratus Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Lot terbesar seluas 72.4 ekar manakala yang terkecil seluas 2600 kaki persegi.

Menurut Khalid lagi daripada 10 transaksi tanah dibatalkan itu membabitkan keluasan 41.52 ekar  kerajaan membayar balik  kepada pemaju RM11.1juta.

Fasa kedua hasil rundingan dengan 23 transaksi DBKL memperoleh 4 lagi transaksi tanah yang dibatalkan dengan keluasan tanah  12.46 ekar dan kerajaan membayar RM7juta.

Dengan keseluruhan tanah seluas 53.98 ekar kerajaan telah membayar keseluruhannya sejumlah RM18.1juta.

“Pada masa sama kerajaan dapat RM149 juta hasil tambahan dan komitmen sebanyak RM6 juta untuk CSR dan 3 lagi tapak tanah yang akan dilakukan penilaian  yang akan mendatangkan hasil tambahan lagi kepada DBKL,” katanya.

Kata beliau  lagi terdapat beberapa kontraktor yang enggan berunding semula kerana mereka berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani mereka.

“Ada tanah yang dinilai RM120 juta telah dijual kepada pemaju dengan harga  RM40 juta  sahaja. Pemaju ini berkeras mahu kes ini dibawa ke mahkamah dengan alasan perjanjian telah ditangani dan mereka tahu dari sudut undang-undang mereka menang jika di bawa ke mahkamah.

“Tetapi bagi kita ini satu sikap tidak adil bagi rakyat dan warga Wilayah Persekutuan secara amnya. Saya harap mereka pertimbangkan kembali. Bila dibawa ke mahkamah, kita berharap hakim akan memihak kepada kita berdasarkan nilai tanah dan harga jualan yang tidak munasabah itu.

“Kita rasa masa depan pemaju sebegitu kurang cerah di DBKL jika mereka menunjukkan sikap sebegini,” ujarnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote