Kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran?

Oleh ARIF ATAN

Nampaknya suhu politik tidak akan sejuk dalam tempoh 21 bulan akan datang (iaitu tempoh maksimum kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum PR-15).

Dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum kelihatan kejayaan pelan pemulihan, ekonomi yang agak parah, dan kehidupan rakyat makin sengsara; Perdana Menteri pula telah membuat kenyataan “tiada kerajaan perpaduan” bersama pembangkang!

Dalam suasana dengan indeks eknonomi yang tercorot, kelemahan pakej pemulihan pandemik yang diluncurkan oleh kerajaan Perikatan Nasional 1.0; Perdana Menteri kelihatan masih berminat untuk berpolitik lagi seolah-olah meletakkan kasta dalam “Keluarga Malaysia”.

Adakah PM dalam tempoh paling maksimum 21 bulan berbaki mahu sebuah kerajaan yang lemah, mengutamakan persengketaan politik berterusan dan mengekalkan menteri yang ‘berkarat’ dan bilangan seramai Kabinet PN 1.0?

Laskar-laskar siber dan petugas-petugas Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) juga kelihatan mengapi-api dan menyemarakkan kembali suhu politik.

Keluarga Malaysia

Semangat Keluarga Malaysia yang cuba dipopularkan oleh PM nampaknya disambut hambar. Malah, sejak hari beliau diisytiharkan sebagai PM tiada satu pun negara-negara luar yang memberikan noktah positif kepada kerajaan baharu.

PM juga kelihatan tidak berhasrat untuk menggembleng semua pihak dalam satu pasukan kerajaan bersama. Lupakan politik persengketaan tapi binalah kembali negara, bangunkan rakyat dan bergerak kehadapan.

Begitu juga setakat ini Datuk Seri Ismail Sabri (DSIS) gagal untuk menjelaskan, adakah kerajaan ini kerajaan PN 2.0 atau kerajaan BN Plus?

Sekiranya ia kerajaan PN 2.0 maka ia adalah kesinambungan kerajaan gagal. Gagal dalam Pelan Pemulihan Negara tanpa strategi yang mantap, gagal dalam pembangunan ekonomi (menarik pelaburan baharu kerana kerajaan PN dahulu mempunyai menteri kanan yang gagal memulihkan ekonomi negara), gagal dalam semua program perdagangan, peruncitan, membina semula Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMI/SME).

Tanpa strategi dan pendekatan baharu, penulis amat bimbang PM akan mewarisi kegagalan kerajaan lalu.

Demi kebaikan dan mensinergi negara dan keluarga Malaysia, pertama mengenai jenama kerajaan ini.

Adakah ia berjenamakan kerajaan PN yang telah gagal dan telah diturunkan bersama melalui ‘kerjasama’ antara pembangkang dengan parti PM, Umno?

Jika ia masih PN maka Umno tidak akan memperoleh apa-apa untuk masa hadapan politiknya.

Kerajaan masih kerajaan gagal tetapi hanya nakhodanya sahaja yang berubah, kelasinya sama cuma dengan seragam yang diganti warnanya dan diposisi berbeza dalam kapal yang sama.

Apakah PM mahu mengangkat kembali kumpulan yang gagal ini yang sebahagian terdiri dari para pelompat dari Umno dan PKR dan pengkhiantat dari Bersatu.

Oleh itu, PM perlu menempatkan orang yang betul di posisi yang tepat menganggotai Kabinetnya. Mereka perlu terdiri dalam kalangan mereka yang pada tempoh 21 bulan akan datang, bukan untuk meraih laba politik tetapi untuk membina semula negara.

Kedua, adakah PM masih mahu meneruskan dasar dan program pemulihan negara yang lemah dan pendekatan yang tidak strategik. Sedangkan proses pemulihan yang diluncurkan oleh PN 1.0 tidak berasaskan sains gunaan, tidak memanfaatkan sains data, kecerdikan buatan (artificial intelligent) dan data-data vaksinasi juga didisegmenkan dengan betul.

Perbahasan yang telah dikemukakan oleh ramai Ahli Parlimen mengenai kegagalan pendekatan kerajaan dan data-data strategik yang telah dikemukakan harus diambil kira segera. Negara perlu keluar dari pandemik ini kepada fasa endemik dalam tempoh sesingkat tiga bulan dan paling maksimum enam bulan.

Ketiga, komposisi Kabinet mestilah dalam kalangan “mereka yang berkerja” (workers) bukan dalam kalangan yang tiada aspirasi nasional.

Dibenci rakyat

Anggota Kabinet yang lembab, tiada visi dan misi hanya akan melumpuhkan kerajaan dan menggagalkan proses pemulihan negara. Kabinet yang terlalu besar tatkala negara memerlukan dana untuk rakyat dan belanjawan untuk pembangunan semoga ekonomi, hanyalah keputusan yang sia-sia.

Mengembalikan keanggotaan dalam kalangan bekas menteri yang dibenci rakyat kerana perlanggaran prosedur operasi standard (SOP), bongkak, pembohong dan rakus hawa nafsu juga akan menjadi liabiliti besar terhadap DSIS.

Keempat, program menarik pelaburan dan memulihkan ekononi perlu diutamakan. Ekonomi yang pulih dan kemasukan pelabur akan memberikan peluang pekerjaan, pembukaan semula industri sokongan kecil dan sederhana.

PM juga perlu melihat kembali industri asas tani, keselamatan makanan dan hub halal negara. Pandemik ini sepatutnya mengajar kita kepentingan industri tersebut.

Kerajaan perlu menubuhkan dengan segera “Bank Benih” (Seed Bank) bagi sektor pertanian sebagaimana di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan malah Indonesia. Dalam menarik pelaburan, kerajaan PN gagal menarik pelaburan besar ketika pandemik kerana polisi dan strategi yang lemah.

Sebagai contoh yang perlu dipelajari, United Arab Emirate berjaya menarik pelaburan besar dari IBM (sedangkan IBM tidak lagi memilih memberikan keutamaan kepada Malaysia) dengan mengemukakan enam strategi kerajaan UAE bagi memastikan IBM melabur.

Penekanan diberikan kepada aspek ketangkasan perusahaan (enterprise agility, pengurusan aliran tunai dan kecairan (cash flow and liquidity management), pengurusan kos yang telus (cost management), keselamatan siber (cybersecurity), pembangunan produk baharu (new product development) dan kemasukan pasaran baharu (new market entry).

Tawaran menarik ini telah membuatkan IBM membuka pusat data (data centre) di UAE – Dubai dan Abu Dhabi – untuk menyediakan perkhidmatan yang dikendalikan kepada perusahaan dan membantu mempercepat perjalanan mereka ke arah ‘hybrid cloud’.

Pelaburan besar ini berlaku dalam tempoh pandemik. Manakala pada tahun 2019, cabang pengkomputeran ‘cloud’ gergasi e-dagang China kumpulan Alibaba telah melabur pembukaan satu pusat data di UAE sementara SAP (German multinational software corporation) membuka pusat datanya di UAE dan Arab Saudi tahun lalu.

Kesemua ini sebagai contoh bagaimana pelabur besar melangkau (bypass) Malaysia dalam pelaburan gergasinya. Kenapa? PM perlu mempertimbangkan perkara ini dan menstrategi semula pakej menarik pelaburan.

Negara tidak memerlukan menteri yang sibuk berpolitik, bergambar dengan penyapu dan begitu juga dengan duta-duta khas yang membazir kewangan kerajaan tanpa sebarang faedah (Duta-Duta Khas ke China, Asia Timur dan Negara Arab).

Kesimpulannya, rakyat sudah bosan dengan gelagat pimpinan yang rakus untuk berkuasa. Rakyat mahukan penyelesaian segera pandemik ini menjadi endemik. Rakyat mahukan kehidupan mereka kembali, bukan ahli politik yang mahu menghidupkan diri mereka di puncak kekuasaan.

Pelabur dalam dan luar memerhatikan dasar dan pakej yang membolehkan mereka melabur dengan selesa, pengurusan yang telus dan menang-menang.

Kerajaan Ismail Sabri harus keluar dari kepompong kegagalan dan ia perlu berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang. Libatkan para pemikir yang jujur dan tanpa kepentingan dari kalangan profesional bagi memberikan nasihat kepada PM dan kerajaan.

Mereka yang berkepentingan dan sedang giat lobi-melobi dalam pelbagai bentuk tidak harus diutamakan. Ini kerana sokong mereka adalah sokong yang membawa rebah.

Sekiranya, PM masih bertindak seperti kerajaan yang lepas-lepas, maka untuk menang dalam peperangan ini sukar. Kalau menang pun ia kemenangan palsu.

PM perlu meneliti apa yang dinyatakan oleh Presiden Umno mengenai lima kegagalan kerajaan PN 1.0 yang mana PM adalah sebahagian daripadanya.

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Akademi Sains Islam berpangkalan di Jordan. Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian akademi.