Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan berpotensi mengurangkan masalah ketirisan, korupsi, salah guna kuasa

Kerajaan Perpaduan dilihat berpotensi untuk mengurangkan masalah ketirisan, korupsi dan salah guna kuasa.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, ini kerana penyusunan kabinet dibuat berdasarkan merit termasuk penyertaan golongan teknokrat dan profesional.

“Bermakna, keputusan-keputusan penting kerajaan termasuk yang melibatkan projek-projek mega boleh dibawa ke Parlimen untuk diputuskan bersama.

“Penubuhan Kerajaan Perpaduan juga tidak semestinya menghalang kewujudan blok pembangkang untuk proses semak imbang.

“Tetapi yang pasti, ia meminimakan perpecahan dalam kalangan masyarakat akibat pertembungan tradisional antara pembangkang dan kerajaan sepertimana yang sedang berlaku sekarang ini.

“Seperti kata Tun Dr Mahathir, Kerajaan Perpaduan akan menumpukan fokusnya kepada kepentingan negara, berbanding kepentingan parti-parti tertentu, lantas ia akan bertindak sebagai penampan untuk pelbagai ideologi politik berbeza yang wujud di negara ini melalui satu hala tuju bersama,” katanya.

Dr Muhammad Faiz berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau pada hari ini.

Dengan konsep Kerajaan Perpaduan, Dr Muhammad Faiz berkata, para penjawat awam juga tidak lagi menganggap diri mereka bekerja di bawah kerajaan parti politik tertentu, sebaliknya berkhidmat demi negara.

“Malaysia boleh mencontohi Indonesia bagaimana Presiden Joko Widodo menerima pesaing jawatannya dalam pilihanraya umum negara itu, Prabowo Subianto sebagai Menteri Pertahanan republik itu, lantas merealisasikan kerajaan perpaduan versi mereka.

“Kerajaan Perpaduan secara tidak langsung menjadikan kerajaan pusat yang tertubuh itu, adalah milik bersama semua pihak yang berkepentingan dalam politik nasional.

“Ia juga boleh digelarkan sebagai Kerajaan Rakyat Malaysia kerana secara kasarnya, ia mewakili segenap komuniti dalam negara ini tanpa mengira agama, kaum, negeri atau status sosial,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Faiz menambah, kepentingan nasional yang merupakan fokus utama Kerajaan Perpaduan di negara ini, perlulah berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Negara.

Beliau berkata, segala elemen-elemen yang jatuh dalam kategori nasional (kebangsaan) wajar diperkasakan agar masyarakat boleh hidup bersatu padu, maju, beridentiti Malaysia sebenar dan memahami sejarah asal negara.