Malaysia Dateline

Kerajaan perpaduan di bawah Anwar penyelesaian terbaik, kata penganalisis

Penubuhan kerajaan perpaduan yang diterajui ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk blok pembangkang dan kerajaan, berbanding tindakan mencabar proklamasi darurat.

Penganalisis politik, Dr Lim Teck Ghee berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak menghentikan pertikaian politik kerana kepentingan negara perlu menjadi keutamaan.

Katanya, pilihan terbaik adalah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya menubuhkan kerajaan perpaduan, yang merupakan pilihan ‘win-win’ bagi pembangkang dan kerajaan.

“Anwar bukan satu-satunya yang menimbulkan keraguan akan keperluan pengisytiharan darurat. Bekas presiden majlis peguam, organisasi masyarakat dan pihak berkepentingan selain pembangkang juga mempersoalkan keperluan darurat ketika ini.

“Mereka lihat, darurat hanya bertujuan menghentikan sidang Parlimen kerana semua aktiviti lain termasuk sektor ekonomi dan sosial normal dibenarkan,” katanya seperti dipetik The Sun.

Sebelum ini, Anwar mendakwa seramai 114 atau 115 Ahli Parlimen menyatakan bantahan mereka terhadap darurat yang diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kerana itu Lim berkata, kenyataan Anwar perlu dilihat sebagai peringatan kepada semua pihak bahawa Presiden PKR itu mendapat sokongan majoriti Parlimen untuk mengambil alih kerajaan.

Sementara itu The Sun juga memetik pakar geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan yang berkata, sekarang bukan sahaja masa terbaik untuk membentuk kerajaan perpaduan tetapi juga masa terbaik untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Katanya, dalam keadaan kerajaan PN tidak stabil, sukar bagi mereka untuk memberi perhatian penuh terhadap wabak dan ekonomi.

Bagaimanapun Azmi berkata, Anwar harus sedar walaupun dia mungkin mendapat sokongan 114 anggota Parlimen, hak prerogatif untuk mengisytiharkan darurat bergantung pada Agong.

Beliau juga berpendapat, ini bukan masa yang tepat untuk menentang kerajaan kerana negara melihat peningkatan kes Covid-19 sehingga 3,000 hingga 4,000 kes setiap hari.

“Sekiranya Anwar sebagai pemimpin Pembangkang tidak senang dengan keadaan darurat, dia harus memohon kepada kerajaan dan bukan kepada Agong,” katanya lagi.