Kerajaan Perpaduan kukuh, dijangka menang undi percaya majoriti besar

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan Perpaduan dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi undi percaya pada 19 Disember ini.

Menurut penganalisis politik Dr Mazlan Ali, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mendapat majoriti besar kerana kerajaannya dibentuk dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan kumpulan parti politik dari Sabah dan Sarawak yang mengumpul 148 ahli Parlimen.

“Bilangan 148 undi lebih daripada mencukupi, sedangkan Anwar hanya memerlukan 112 undi,” kata Mazlan yang merupakan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau turut menyatakan bahawa anggota parlimen BN telah pun menandatangani perjanjian.

Menurut sumber, perjanjian kerjasama dalam kalangan parti politik dalam blok kerajaan pula dijangka akan dimeterai pada 16 Disember ini, yang akan memperkuat ikatan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan.

Di atas kertas, sokongan kepada Anwar kelihatan padu kerana blok kerajaan terdiri daripada 148 kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 73 kerusi. Jumlah 149 membentuk majoriti dua pertiga kerusi dewan.

Mazlan menambah bahawa sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga kukuh dan tidak mempunyai alasan ahli Parlimen mereka bertindak tidak menyokong undi percaya.

“Anwar sudah pun mempunyai perjanjian dengan GPS berkenaan dengan perjanjian MA63 (untuk melunasi hak Sabah dan Sarawak). Mereka tiada isu untuk tidak bersetuju.

“Di Sabah pula, (Ketua Menteri) Hajiji telah keluar dengan empat ahli parlimen dari Bersatu,” katanya.

Oleh sebab itu, Mazlan sangat yakin bahawa kerajaan pimpinan Anwar tidak akan tergugat atau jatuh di tengah jalan seperti kerajaan terdahulu kerana isu pengkhianatan dan sebagainya.

Berkenaan dengan perjanjian kerjasama parti parti kerajaan pula, beliau berpendapat ia bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama PH – BN – GPS – GRS dan beberapa parti kecil lain.

Baca juga PM Anwar jamin tiada kenaikan tarif elektrik tetapi meningkat secara berfasa untuk syarikat multinasional