Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan mulakan tahun baharu dengan penurunan kadar tol

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tahun baharu 2023 dengan menurunkan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini, berita baik itu diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Menurutnya, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya tersebut berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda prihatin kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Katanya, penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu.

Jelasnya, keputusan yang dapat meringankan pengguna khususnya penduduk di Lembah Klang itu juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya tersebut yang diputuskan kerajaan.

“Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

“Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan,” katanya.

Menerusi satu kenyataan, hari ini, Alexander berkata, melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala berbanding RM2.00 pada masa ini.

Sementara itu, jelasnya, pengguna kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala berbanding RM8.30 sekarang.