Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan pikul misi besar selamatkan negara

Rakyat Malaysia sudah tentu berharap agar Kerajaan Perpaduan yang merangkumi semua kaum meninggalkan retorik lapuk perkauman dan agama sepertimana kerajaan sebelum ini.

Hasrat tersebut selari dengan tawaran formula kestabilan kerajaan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu dengan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar, berkata Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada hari ini adalah atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta untuk diwujudkan gabungan antara parti di negara ini.

“Kerajaan sekarang ini adalah kerajaan yang menggabungkan semua parti tidak kira bangsa dan agama sekalipun termasuk Sabah dan Sarawak.

“Atas dasar untuk menyelamatkan negara dan mendahulukan rakyat, maka Pakatan Harapan (PH) telah menerima cadangan untuk bergabung antara satu sama lain tidak kira Parti sekalipun walaupun sebelum ini bertelagah tetapi kali ini terpaksa untuk menyelamatkan negara ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari wakil Sabah dan Sarawak merupakan satu pengiktirafan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Halimey Abu Bakar

Terdahulu, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung.

Situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada blok parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Tambah Halimey yang juga merupakan ADUN Seri Setia, inilah satu-satunya kerajaan yang boleh menjanjikan masa depan yang baik untuk negara.

“Inilah politik baharu di Malaysia. Kalau kita lihat negara-negara luar pun sudah buat sebegini (Kerajaan Perpaduan).

“Yang penting kita nak pastikan negara ini dipimpin dengan lebih baik, stabil dan rakyat boleh hidup dengan lebih senang serta tidak terkesan dengan masalah ekonomi yang melanda sekarang,” ujarnya lagi.

Baca juga Konon pakai iPad tapi bertimbun juga fail – Sindiran pemimpin Pas akhirnya ‘makan’ diri