Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan, resepi terbaik dan keperluan negara

Baru-baru ini, sekali lagi kecoh diperkatakan tentang rancangan pembentukan kerajaan perpaduan di kalangan pemimpin negara. Idea tentang pembentukan sebuah kerajaan perpaduan (unity government) ini bukan sesuatu yang baharu malahan, idea ini pernah dibawa oleh Tun Dr Mahathir sewaktu kemelut politik melanda negara awal tahun 2020 yang lepas, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah.

Walau bagaimanapun, idea ini tidak mendapat sokongan ketua-ketua parti politik utama sebelum ini termasuklah Barisan Nasional dan Pas kerana khuatir akan kesan yang bakal dihadapi apabila Tun Dr Mahathir mendapat kuasa penuh untuk memilih ahli kabinet tanpa gangguan daripada sesiapa pun. Kerisauan parti politik ketika itu adalah sesuatu yang munasabah.

Kerajaan perpaduan merupakan satu kerajaan yang menggabungkan wakil dari pelbagai politik menuntut parti dan semua pemimpin untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam kemelut wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada hampir segenap golongan masyarakat baik dari segi kesihatan, keselamatan, ekonomi, sosial mahupun mental, adakah kewujudan sebuah kerajaan perpaduan (unity government) bakal menjadi solusi terbaik untuk negara dan rakyat keseluruhannya? Jika benar, menjadi persoalan besar adakah ahli politik kita sanggup untuk mengenepi perbezaan atau fahaman politik mereka dan bergabung di bawah satu kerajaan yang sama?

Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, malah boleh memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing baik di Malaysia mahupun seluruh dunia.

Sistem Semak dan Imbang: Adakah sudah tidak releven?

Sistem kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru dalam sistem pemerintahan dunia hari ini. Sebagai contoh, negara-negara Barat yang maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (USA) juga pernah mewujudkan kerajaan perpaduan sebelum ini.

Walaupun begitu, sesuatu sistem tetap ada kebaikan dan kelemahan masing-masing. Dengan wujudkan sebuah kerajaan perpaduan seperti yang diharapkan ini, proses semak dan imbang mungkin tidak dapat berlaku dengan sempurna dan berkesan kerana tiada lagi barisan pembangkang yang melaksanakan proses semak dan imbang (check and balance) dalam pemerintahan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Proses semak dan imbang sangat penting dalam sesebuah negara terutamanya dalam sistem pemerintahan dwi-parti kerana ia memberi ruang kepada pembangkang yang bertanggungjawab untuk memainkan peranan secara berkesan dalam menyeimbangkan kuasa pemerintahan dengan mengambil kira juga pandangan masyarakat sivil dan juga badan bukan kerajaan,

Selain itu, kerajaan perpaduan juga membolehkan sesebuah kerajaan untuk berkuasa penuh dan bebas memutuskan serta bertindak mengikut kemahuan mereka. Ini mungkin akan membuka peluang kepada risiko penyalahgunaan kuasa demi kepentingan pemerintah. Situasi ini boleh menyebabkan wujudnya polisi atau dasar yang lebih bersifat individualistik atau bermanfaat untuk sebahagian golongan sahaja tanpa mengambil kira kepentingan rakyat jelata dan negara secara membumi dan holistik.

Justeru itu, mampukah kerajaan perpaduan ini membawa negara ke arah pemerintahan yang lebih baik dengan mengambil kira suasana politik dan prestasi para pemimpin kita hari ini? Adakah rakyat dan negara bakal mendapat manfaat yang lebih baik melalui resepi ini?

 

Kolaborasi Politik

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan IKRAM Malaysia baru-baru ini, mengetengahkan konsep kolaborasi politik (collaborative politik) di mana IKRAM menyeru agar pilihan untuk mewujudkan kolaborasi politik perlu diberi pertimbangan serius oleh ahli-ahli politik sebagai jalan keluar dari kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi oleh negara hari ini, dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai asas paling utama mengatasi kepentingan parti mahupun individu.

Kolaborasi politik yang berasaskan rundingan, perbincangan serta kerjasama antara ahli-ahli politik dari pihak pemerintah dan pembangkang dalam isu-isu tertentu seharusnya dapat berlaku dengan sejahtera dan secara telus dengan mengambil kira manfaat dan kepentingan rakyat dan negara.

Keadaan negara hari ini amat memerlukan kebijaksanaan para pemimpin baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam mencari titik persamaan dan kata sepakat untuk menangkis kemudaratan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Ini juga menjadi penanda aras akan kesediaan pemimpin negara serta rakyat untuk bergerak ke arah sistem politik yang lebih matang yang boleh membawa kepada pembentukan sebuah masyarakat yang inklusif dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang mahupun ideologi.

Kolaborasi politik ini dilihat mampu menjadi salah satu jalan solusi kepada negara demi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar selain membawa negara ke arah pengislahan yang lebih baik , sama ada dari aspek pemerintahan mahu pun perpaduan masyarakat majmuk yang rahmah untuk semua. Dalam mencapai kesejahteraan dan keharmonian yang kita idamkan ini, strategi dan perancangan harus dilaksanakn secara bertahap (gradually) tanpa mengabaikan akan peri pentingnya pendidikan secara berterusan kepada masyarakat.

Politik Khidmat & Pemimpin Minda Berkebajikan

Dalam membawa Malaysia menjadi sebuah Negara Rahmah, salah satu aspek yang perlu diberi keutamaan adalah aspek kebajikan disamping ekonomi dan kesejahteraan rakyat itu sendiri. Tambahan lagi dalam situasi negara yang sedang bergelut dengan wabak Covid-19, pemimpin harus memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat terpelihara dan terjamin.

Situasi dalam negara hari ini amat memerlukan barisan pemimpin yang berminda kebajikan, iaitu pemimpin yang sentiasa bersedia dan berusaha memberi khidmat dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat walau dalam situasi apa pun. Politik khidmat harus menjadi slogan setiap pemimpin mahupun parti politik sebagai manifestasi para pemimpin terhadap mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Walau apa pun keputusan mahupun apa sahaja bentuk kerjasama yang diwujudkan, seharusnya para pemimpin sentiasa mengutamakan kepentingan dan maslahat rakyat keseluruhannya.

Seharusnya, wabak Covid-19 ini menjadi satu peluang besar untuk semua pemimpin yang dipilih rakyat untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar pemimpin yang layak dan berjiwa rakyat, yang sentiasa berusaha mencari peluang dan jalan untuk terus berkhidmat dalam membantu dan membela nasib semua lapisan masyarakat. Inilah masa untuk pemimpin bekerja demi rakyat, bukan untuk diri sendiri atau parti semata.

———————
Penulis adalah dari Jabatan Kajian & Advokasi Ikram Malaysia