Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan setuju pinda akta, 7 RUU cadangan hukuman gantian mati mandatori dikemukakan

Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meminda akta-akta berkaitan dan mengemukakan tujuh Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat Kabinet semalam telah meneliti dan membincangkan semula mengenai cadangan tersebut.

Tujuh RUU itu adalah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet kerana bersetuju untuk meneruskan usaha penyemakan undang- undang berkaitan dengan hukuman mati mandatori,” katanya dalam kenyataan media.

Jabatan Peguam Negara meneliti dasar pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori melibatkan 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebagaimana peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Antara kesalahan lain yang diteliti semula ialah 23 kesalahan yang membawa hukuman mati tertakluk budi bicara Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961.

Menurut Azalina, penangguhan pelaksanaan hukuman mati (moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan.

Namun, pindaan undang-undang yang berkaitan tidak memansuhkan hukuman mati sepenuhnya tetapi memberi budi bicara kepada mahkamah untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.

“Pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini dijangka memberi kesan langsung kepada seramai 1,327 orang banduan yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, manakala bagi lain-lain individu yang belum dituduh, hukuman gantian terhadap hukuman mati boleh dikuatkuasakan secara prospektif.

“Pelaksanaan cadangan hukuman gantian ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pengerang itu memaklumkan bahawa RUU berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori itu dijangka dibentangkan di sidang Parlimen pada Februari 2023.

Kerajaan akan turut mempertimbangkan kajian susulan Fasa 2 yang melibatkan pembaharuan sistem keadilan jenayah seperti dasar penghukuman (sentencing policy) yang lebih berkesan.

“Fokus juga akan diberi terhadap pendekatan hukuman yang berteraskan pemulihan dan keadilan restoratif (restorative justice),” katanya.

Baca juga Kebebasan bersuara tak sama dengan kebebasan memfitnah – Khalid