Kerajaan perpaduan tidak tepati semangat Malaysia

Kerajaan perpaduan tidak tepati semangat Malaysia

Sekali lagi Negeri Kedah bakal menjadi tumpuan dan pergolakan walaupun Tuanku Sultan telah memperkenankan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri yang baru pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Suasana hangat ini dibahas pula oleh Pas seolah-olah tidak mahu menerima perkenan Tuanku sebelum ini, demikian menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Kedah, Ridzwan Abu Bakar.

Jelas beliau, kedudukan kerusi di Kedah yang berangka genap iaitu 36 kerusi menyebabkan gabungan kerajaan dan pembangkang menjadi sama iaitu 18.

Namun begitu katanya, di dalam PRU baru-baru ini, PH, BN dan Pas telah bersaing dalam pertembungan tiga penjuru yang menghasilkan keputusan PH mendapat 18 kerusi, Pas 15 dan BN tiga kerusi.

“Pas beranggapan bahawa PH tidak mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan. Sebaliknya
Tuanku Sultan telah menafikan pandangan Pas dan memperkenan PH sebagai kerajaan negeri
Kedah.

“Kini isu tersebut dibangkitkan kembali oleh Timbalan Presiden Pas yang mengulangi hasrat Pas untuk membentuk kerajaan Perpaduan dengan alasan PH tidak memperolehi majoriti bagi melantik Speaker dewan kelak, ” ujarnya.

Tegas Ridzwan, sejarah telah membuktikan kerajaan perpaduan telah menjadi sebahagian strategi Pas di Perak apabila memperolehi tiga kerusi daripada 59 kerusi.

Walau bagaimana pun tegasnya, ia gagal apabila PH mendapat perkenan Tuanku Sultan Perak sebagai parti paling banyak memenangi kerusi dalam pertandingan tiga penjuru.

Lebih parah lagi katanya, apabila Adun BN memberi sokongan lisan kepada calon Menteri Besar PH di hadapan Tuanku Sultan Perak.

“Kedudukan di Kedah juga sama apabila Pas dengan perolehan 15 kerusi menuntut jawatan Speaker diserahkan kepada calon mereka.

“Sejajar dengan konsep Malaysia Baru kini, Pas terbuka untuk mencadangkan siapa sahaja sebagai Speaker Dun Kedah.

“Manakala BN pula setakat ini belum lagi membuat apa-apa keputusan sama ada ingin memihak undian kepada kerajaan atau pun Pas, ” tegasnya lagi.

Tambah beliau, idea Pas tersebut tidak membawa semangat demokrasi yang menjadi amalan dalam negara ini dan ia tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia telah pun mengamalkan konsep Westminster sejak tahun 1957 lagi. Antara ciri-ciri konsep ini adalah seorang ketua kerajaan dilantik dikalangan gabungan terbesar dengan majoriti sokongan.

“Selain itu wujud pasukan pembangkang yang akan mengimbang adil setiap tindakan dan perjalanan kerajaan, ” katanya.

Oleh kerana itu sarannya, pembangkang harus menjadi pembangkang yang aktif, menilai dan juga memantau.

“Manfaatkan tempoh 5 tahun yang masih berbaki sebaik-baiknya dengan elaun dan peruntukan yang disalurkan.

“Jangan lagi wujudkan ‘budaya pasu bunga’ atau ‘kuliah subuh’ di dalam Dun mahupun Parlimen.

“Sebaliknya gunalah peluang dan ruang yang diberikan untuk melaksanakan tanggungjawab
sebagai Adun dan Ahli Parlimen yang komited kepada tanggungjawab masing-masing, ” katanya lagi.

 

 

 

CATEGORIES
TAGS