Kerajaan Persekutuan fail tindakan sivil mengenai tanah adat Orang Asli Temiar

Kerajaan Persekutuan fail tindakan sivil mengenai tanah adat Orang Asli Temiar

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan, antara lain untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang memetik Peguam Negara Tommy Thomas, turut difailkan adalah injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Buat pertama kali sejak kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka, katanya.

“Sedar akan keperitan yang dialami oleh Orang Asli, Perdana Menteri dan kabinet telah memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan untuk mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Orang Asli. Tambahan pula ini menepati janji manifesto.

“Defendan-defendan ialah Kerajaan Negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta. Benefisiari tindakan ini ialah Orang Asli. Litigasi ini tidak melibatkan sebarang tanggungan kos bagi Orang Asli,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, dan dengan menggunakan jentera berat mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah.

Namun, katanya, kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.

Thomas berkata tindakan itu telah mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama dan tidak boleh diketepikan untuk melindungi dan memelihara kesejahteraan Orang Asli Temiar.

“Malangnya, hak asasi Orang Asli sebagai warganegara telah diabai dan dilanggari untuk sekian lamanya. Penebangan hutan berleluasa dan pembangunan komersial telah menerobos masuk ke dalam wilayah adat Orang Asli. Dalam kebanyakan keadaan, Orang Asli tidak dirundingi, malah langsung tidak dipertimbangkan.

“Jarang sekali mereka diberi pampasan yang adil. Mereka biasanya mengelakkan daripada memberikan tentangan atau konfrontasi secara langsung dan sebaliknya berundur jauh ke dalam hutan,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana Orang Asli yang cuba bertahan dan mempertahankan tanah adat mereka akan berdepan kuasa yang amat tidak seimbang dan terpaksa berlawan dengan pihak berkuasa dan bersumber tanpa sesiapa pun berjuang untuk mereka.

Tambahnya, hak asasi Orang Asli di seluruh dunia telah diiktiraf, diisytiharkan dan dikuatkuasakan dalam kes-kes yang mendapat perhatian mahkamah seperti mahkamah tertinggi di Australia, Kanada dan India yang telah mengiktiraf sejumlah hak-hak orang asal mereka atau ‘first nations’.

“Sudah tiba masa Malaysia turut bersama negara-negara yang mengiktiraf dan melindungi hak-hak Orang Asli,” katanya.

Thomas berkata Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal 2007 (UNDRIP) menekankan prinsip persetujuan yang bebas, terdahulu dan termaklum oleh mereka yang akan terkesan dengan cadangan kerja-kerja komersial dan dengan itu memberikan sokongan undang-undang antarabangsa awam kepada Orang Asli di dunia.