Kerajaan Persekutuan peruntukkan RM17juta tangani hakisan dua pantai di Kelantan

Kerajaan Persekutuan peruntukkan RM17juta tangani hakisan dua pantai di Kelantan

Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM17 juta bagi menjalankan projek menangani hakisan pantai di Pantai Kundur dan Pantai Mek di Kelantan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata projek sepanjang tiga kilometer dijangka bermula seawal Februari tahun depan dengan proses tawaran tender dibuat bulan depan.

“Sebelum ini kita telah melaksanakan projek kecemasan di kawasan berkenaan selepas melakukan kajian berikutan kedua-dua pantai berkenaan terhakis dengan teruk sehingga memusnahkan rumah penduduk sejak 2010.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Justeru, sebagai langkah jangka panjang, kita akan melaksanakan projek hakisan ini yang mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan bagi menangani masalah tersebut daripada berulang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek hakisan pantai di Pantai Cahaya Bulan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata skop projek berkenaan membabitkan antaranya penambakan pasir serta pembinaan lapis pindung batu.

Ditanya mengenai persiapan banjir, Wan Junaidi berkata Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) dijangka dapat digunakan pada hujung tahun ini.

Beliau berkata sistem berkenaan yang dipasang di kawasan hulu di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kos

RM15 juta itu boleh memberi amaran kepada pasukan penyelamat sekurang-kurangnya dua hari sebelum banjir melanda.

Sementara itu, kementerian dalam kenyataan yang diedarkan kepada media kemudian, berkata Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dilaksanakannya menerusi JPS pada 2015 bagi menilai dan meneliti isu hakisan pantai secara menyeluruh telah siap.

“Hasil kajian tersePbut mendapati 15.3 peratus daripada keseluruhan 8,840 km panjang pantai di negara ini mengalami hakisan dengan Kelantan menghadapi masalah hakisan paling serius.

“Panjang keseluruhan pantai di Kelantan adalah 179.5 km dengan 19.8 km (11 peratus) daripada pantai tersebut telah mengalami hakisan dengan Pantai Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas merupakan yang teruk terjejas apabila terhakis antara 10 dan 18 meter setahun,” demikian menurut kenyataan tersebut.

CATEGORIES