Malaysia Dateline

Kerajaan Persekutuan serah peruntukan kira-kira RM45 juta kepada institusi agama seluruh negara

Kerajaan Persekutuan hari ini menyerahkan peruntukan kira-kira RM45 juta kepada pusat tahfiz, institusi pondok dan masjid di seluruh negara selari dengan situasi dan permintaan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, peruntukan itu disalurkan berikutan ibu bapa dilihat telah menjadikan pendidikan tahfiz dan pondok sebagai salah satu pilihan untuk anak-anak meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

“Untuk maklumkan, peruntukan tersebut diberi hanya kepada pusat tahfiz dan pondok yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

“Negeri yang paling banyak mendapat peruntukan adalah Kedah iaitu sebanyak RM11,280,458.00. Ini kerana, pondok dan pusat tahfiz paling banyak ada di sana.

“Manakala, Perlis adalah negeri yang mendapat peruntukan paling sedikit (RM853,249.00) disebabkan pusat tahfiz dan pondok tidak banyak terdapat di sana.

“Justeru, saya berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh institusi pondok dan pusat tahfiz mengikut tujuan yang telah ditetapkan, termasuklah menaik taraf kemudahan prasarana untuk warganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Pondok, Tahfiz dan Masjid di Seluruh Negara serta Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kepada Asnaf dan Pelajar Sekolah.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Turut hadir ke majlis penyerahan sumbangan itu adalah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Dalam majlis sama, MAIWP turut menyalurkan bantuan zakat khas berjumlah RM33.2 juta kepada 54,331 penerima golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Syed Hussien dalam ucapannya berkata, julung kalinya pada tahun ini, atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab menunaikan amanah para pembayar zakat, pihaknya akan menyalurkan bantuan zakat khas kepada penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP.

“Mereka akan menerima bantuan zakat khas yang akan disalurkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya.

Penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima RM1,000 setiap keluarga, Bantuan Perubatan (RM1,000) setiap seorang, Bantuan Am Persekolahan (RM250) setiap seorang, manakala Bantuan Am Pelajaran IPT Dalam dan Luar Negara adalah RM500 setiap seorang.

Dalam majlis sama, MAIWP turut membantu menghulurkan sumbangan berupa bantuan persekolahan kepada seramai 17,890 orang pelajar.

Ia meliputi 9,211 orang pelajar sekolah menengah, 8,679 orang pelajar sekolah rendah dan 4,543 orang pelajar SRA / KAFA dengan jumlah agihan sebanyak RM5.1 juta.