Malaysia Dateline

Kerajaan Persekutuan tidak pilih ‘bulu’ laksanakan projek, kata Abdul Aziz

Kerajaan Persekutuan tidak memilih ‘bulu’ untuk melaksanakan projek pembangunan walaupun kawasan terbabit diwakili parti lawan

Pengerusi DAP Batu Kitang,Abdul Aziz Isa berkata,Kerajaan Persekutuan  sentiasa prihatin dan menganbil berat berkaitan pembangunan agar rakyat mudah mendapatkan akses segala kemudahan yang dilaksanakan.

Abdul Aziz Isa

Tegasnya,apa yang penting ialah rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan tanpa melibatkan soal parti dan politik di kawasan yang rakyat memerlukan pembangunan.

“Ini yang kita perjuangkan demi rakyat khususnya di kawasan kampung dan rumah panjang walapun kawasan terbabit diwakili parti lawan.

“Ini kerana kita tidak mahu melihat kesukaran yang dialami masyarakat dan penduduk dalam melalui kehidupan tanpa kemudahan yang sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama-sama dengan Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Kerajaan Persekutuan yang menyerahkan kelulusan projek membina parit konkrit kepada pihak kontraktor di Kampung Semeba,Batu Kitang di Kuching semalam.

Sehubungan itu,Abdul Aziz berharap agar rakyat di negeri ini dapat menilai peranan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di Sarawak walaupun negeri ini di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengenai projek parit konkrit yang dibina di simpang masuk Kampung Semeba,Batu Kitang,katanya sebanyak RM60,000 telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.

Jelasnya lagi,projek tersebut merupakan peruntukan khas daripada Ahli Parlimen Stampin yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),Chong Chieng Jen.

“In shaa Allah…jika tiada masalah cuaca yang sering hujan ketika ini,projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan,” ujar beliau.

Abdul Aziz turut mendakwa,sebelum Kerajaan Persekutuan bertukar tangan, permohonan untuk membina parit konkrit pernah dipohon beberapa kali namun tidak pernah mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

“Hal ini mungkin kerana pihak di sebelah sana (Kerajaan BN) sebelum ini beranggapan tidak berbaloi untuk membantu dua keluarga yang mendiami kawasan ini.

“Justeru, apabila penduduk membuat permohonan kepada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin pertengahan tahun ini, tanpa sebarang masalah permohonan tersebut mendapat pertimbangan sewajarnya oleh Ahli Parlimen Stampin.

Walaupun sebuah keluarga atau dua buah keluarga, apa yang penting adalah suara rakyat tanpa mengira bangsa dan agama didengari dengan adil dan saksama,”tegasnya lagi.

Sehubungan itu jelas beliau, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin dan DAP Cawangan Batu Kitang akan terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan untuk penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kitang.