Malaysia Dateline

Kerajaan peruntuk RM10,000 kepada setiap MPKKP di Kelantan

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10,000 bagi setiap Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Kelantan untuk melaksanakan program berbentuk kemasyarakatan sepanjang tahun ini.

Ketua Badan Pimpinan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor berkata peruntukan itu boleh digunakan oleh MPKKP bagi membantu mangsa kebakaran, program berkaitan perpaduan masyarakat dan seumpama.

“Peruntukan itu diluluskan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam satu perjumpaan di Kota Bharu minggu lepas.

“Terdapat lebih 500 MPKKP di Kelantan ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Kepada Pengerusi dan Setiausaha MPKKP Parlimen Pasir Puteh di sini, hari ini.

Seramai 152 pengerusi dan setiausaha MPKKP dari Parlimen Pasir Puteh menerima watikah pelantikan di kawasan itu hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang tidak mengabaikan kebajikan rakyat walaupun negeri ini diperintah oleh pembangkang.– BERNAMA