Malaysia Dateline

Kerajaan peruntuk RM5juta naik taraf jalan raya di Kuching

Sejumlah RM5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan  bagi menaik taraf empat jalan persekutuan di kawasan Kuching.

Kerja-kerja menaik taraf telah dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya yang kini sedang giat dijalankan.

Menurut kenyataan akhbarnya, projek naik taraf jalan yang telah diluluskan termasuk Jalan Tun Razak memakan kos sebanyak RM2 juta, Jalan Datuk Bandar Mustapha (RM1 juta), Jalan Tun Razak di hadapan Hotel Rajah Court (RM1 juta) dan Jalan Tun Jugah (RM1 juta).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending Violet Yong telah diberi taklimat mengenai perincian dan kemajuan empat projek naik taraf jalan berkenaan oleh JKR Sarawak selaku agensi pengawasan projek pada mesyuarat baru-baru ini.

Sebuah laporan khas juga telah diberikan berkenaan kemajuan kerja menaik taraf jalan yang sedang dilaksana di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Razak-Jalan Foochow.

Sehubungan itu, Violet meminta pihak JKR agar memantau dengan teliti kerja dan memastikan kontraktor memberi komitmen sepenuhnya dengan mempercepatkan kerja pembaikan dan menambah sumber tenaga kerja agar ia dapat dipersiapkan secepat mungkin.

“Saya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menggunakan Jalan Tun Razak atau Jalan Foochow berkenaan kerja pembaikan itu kerana memburukkan lagi kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak,” jelasnya.

Kerja menaik taraf Jalan Tun Razak-Jalan Foochow dibahagikan kepada lima peringkat dan dijangka siap pada pertengahan November depan.