Kerajaan PH ambil pendekatan berjimat cermat, kata Mujahid

Mujahid bersama Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Abd Yunus Jamhari meraikan anak yatim di Mydin Mall Parit Buntar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dijangka akan mengumumkan portfolio kabinet tambahan minggu hadapan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada majlis Iftar Ramadan serta sumbangan kepada anak yatim anjuran Mydin Mall, Parit Buntar kelmarin.

Menurut beliau lagi, pelantikan yang telah dibuat sebelum ini adalah 12 kabinet.

“Adalah dijangkakan sekurang-kurangnya 13 lagi tambahan portfolio akan diumumkan.

“Pelantikan kabinet kerajaan Pusat perlu dilaksanakan dengan segera selaras dengan pembentukan kabinet mengikut Akta Perlembagaan Negara.

“Daripada tambahan portfolio tersebut, kemungkinan besar hanya 3 kementerian akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM),” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH turut berkata, tatacara kerajaan Pakatan Harapan (PH) agak berbeza dengan apa yang dipraktikkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Semasa BN dahulu terdapat 13 kementerian daripada keseluruhan 35 kementerian yang diletakkan di bawah JPM.

“Tindakan yang diambil bagi mengecilkan saiz kabinet kerajaan PH dan penstrukturan semula pelantikan politik adalah salah satu usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Selain itu, banyak lagi langkah-langkah penjimatan kos pentadbiran negara yang akan diambil tidak lama lagi,” tegasnya.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan dan iftar tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Abdul Yunus Jamhari.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS