Malaysia Dateline

Kerajaan PH bagus terima semua walaupun tegar menentang, kata Paksi

Persetujuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi elaun RM5,000 sebulan kepada tujuh orang sasterawan negara adalah sesuatu yang berbeza berbanding amalan kerajaan terdahulu, demikian menurut Aktivis Ngo Paksi Seniman Rakyat (Paksi) Kassim Muhamad.

Beliau turut mengalu-alukan usaha kerajaan Pakatan Harapan walaupun ada yang menyifatkan keputusan itu bertujuan untuk politik semata-mata.

Kassim Muhamad

Katanya, jika di zaman pemerintahan Umno BN lebih selesa bertindak membalas dendam terhadap mereka yang tidak mengenang budi dan tidak mengundinya.

“Sepanjang pemerintahannya, kita telah melihat bagaimana Umno yang selamanya lebih selesa ‘membalas dendam’ terhadap siapa saja yang ‘tidak mengenang budi’ dan tidak mengundinya telah menghukum para penentangnya. Sejarah pemerintahannya penuh dendam kesumat ini tidak boleh dipadam begitu saja,” kata beliau di status Facebooknya.

Katanya, apabila PH telah lakukan sesuatu yang berlawanan dengan tindakan Umno selama ini, mesej dan impak tindakannya memang cukup jelas, sesungguhnya Sastera itu tinggi martabatnya di mata sang penguasa.

Jelas beliau, kerajaan PH lebih bagus kerana menteri mereka telah memilih pendekatan insklusif iaitu menerima semua termasuk mereka yang jelas sangat tegar menentang PH semasa Umno berkuasa dahulu.

Justeru katanya, pendekatan ini memang tepat dan tidak ada cacat celanya dan mungkin bagi PH politik balas dendam ala Umno tidak membina malah merosakkan.

Sebelum ini, Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 sebulan kepada Kementerian Pendidikan bagi pembiayaan elaun penghargaan secara bulanan kepada 7 Sasterawan Negara.

Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bayaran bulanan RM5,000 akan dibayar mulai Jun 2019 dan akan diteruskan pada tahun seterusnya.

“Pemberian penghargaan Sasterawan Negara secara bulanan ini merupakan elaun tambahan baru yang diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan negara,” katanya.