Malaysia Dateline

Kerajaan PH beri tumpuan kurangkan pengangguran dalam kalangan belia

Guan Eng semasa melawat Mount Miriam Cancer Hospital di Pulau Pinang semalam.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sememangnya mempunyai hasrat untuk mengurangkan kadar pengangguran dikalangan belia dalam negara ini.

Malah ia menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan tahun hadapan yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui selepas majlis perasmian pengenalan perkhidmatan perubatan baharu di Mount Miriam Cancer Hospital, Pulau Pinang semalam.

Jelasnya lagi, selain itu kerajaan juga bercadang untuk memberi fokus terhadap usaha bagi meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam sektor pekerjaan.

“Setakat ini lebih 80 peratus penyertaan buruh dalam negara adalah dalam kalangan golongan lelaki, manakala bagi golongan wanita pula ia hanyalah sebanyak 56 peratus.

“Sehubungan itu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan nanti akan turut memberi tumpuan terhadap usaha bagi meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam bidang pekerjaan.

“Secara tidak langsung ia mampu untuk melahirkan golongan pekerja yang lebih produktif,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan turut berkata, penyertaan sektor swasta turut diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan pada kali ini.

Tegasnya, apabila wujudnya peningkatan penglibatan sektor swasta ia akan banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

Sejajar dengan itu katanya, isu kos sara hidup akan juga menjadi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan pada Oktober kali ini.

Tambah beliau lagi, Belanjawan 2020 kali ini merupakan belanjawan yang memberi keutamaan terhadap rakyat serta bersifat komprehensif.