Kerajaan PH bukan anti China, kata duta China ke Malaysia

Kerajaan PH bukan anti China, kata  duta  China ke Malaysia

China tidak pernah mempersoal persahabatan dan dasar saling percaya dengan Malaysia di bawah kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Duta China ke Malaysia Bai Tian berkata beliau tidak pernah menganggap kerajaan PH sebagai “anti-China” dan kerajaan China juga tidak pernah berasa tersinggung dengan keputusan Putrajaya untuk mengkaji semula projek-projeknya di sini.

“Tun M sudah lama menjadi rakan kongsi China. Beliau memiliki rekod prestasi yang mesra dengan China.

“Kita harus membezakan antara hubungan dua hala secara keseluruhan dengan projek-projek tertentu,” katanya dalam pertemuan meja bulat dengan media Malaysia di Kedutaan China di sini pada Khamis.

Bai Tian

Duta itu berkata pemimpin dan rakyat China, yang begitu menghormati Dr Mahathir, tidak akan pernah melupakan inisiatif Dr Mahathir dalam membawa China ke meja Asean.

“Beliau adalah bapa kepada hubungan Asean campur China yang begitu cergas hari ini,” katanya.

Bai Tian berkata penyertaan Dr Mahathir dalam Forum Kedua Belt and Road untuk Kerjasama Antarabangsa (Sidang Kemuncak BRI) akan membolehkan Perdana Menteri bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin lain berhubung inisiatif China itu.

Dr Mahathir juga akan bertemu Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang dalam satu mesyuarat rasmi di mana mereka dijangka bertukar-tukar pandangan berkaitan kerjasama dua hala, terutama dalam konteks ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Ini akan menjadi lawatan rasmi ke-10 Dr Mahathir ke China, dan yang kedua selepas beliau sekali lagi menyandang jawatan sebagai perdana menteri Malaysia.

“Lawatan kali ini akan menjadi sesuatu yang menyenangkan, bermanfaat dan membuahkan hasil,” kata Bai Tian.

Perdana menteri juga dijadual bertemu ahli perniagaan China bagi membincangkan peluang-peluang pelaburan di Malaysia.

Beberapa memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai di luar forum itu, termasuk yang membabitkan minyak sawit.

Sidang Kemuncak BRI yang berlangsung di Beijing dari 25 hingga 27 April akan turut dihadiri kira-kira 40 pemimpin lain negara yang mengambil bahagian dalam BRI.- BERNAMA