Malaysia Dateline

Kerajaan PH jatuh kerana ada pemimpin tamak, gila kuasa

Pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) kembali panas ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas sesetengah pemimpin parti komponen gabungan itu berpaling tadah.

Di Durian Tunggal, Melaka malam ini, Pengerusi PH negeri, Adly Zahari membidas sikap belot wakil rakyat terlibat yang telah mengkhianati mandat rakyat.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, sentimen Melayu dan Islam dimainkan di sebalik kejatuhan PH walaupun realitinya adalah kerana tamak dan gilakan kuasa.

“Tugas kita adalah memberikan kebajikan kepada rakyat. Mengapa kerajaan ini (PH) mahu dijatuhkan? Kerana ada kalangan kita gila kusa, tamak haloba.

“Mereka cakap perjuangan kerana Melayu dan Islam. Tanpa DAP pun mereka bercakar sesama mereka hanya demi tembolok mereka sendiri,” selarnya dalam Jelajah Harapan Melaka di Pejabat PKR negeri di Durian Tunggal malam ini.

Untuk rekod, kesemua 13 ADUN BN, seorang ADUN PKR dan seorang ADUP DAP menarik semula kerjasama dengan dua ADUN Bersatu pada 6 Mac lalu kerana kecewa dengan semangat kerjasama ditunjukkan kedua-dua wakil rakyat parti itu.

Terdahulu, Umno-BN sudah mengemukakan nama ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri menggantikan Adly tetapi Bersatu pula mencalonkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri.

Dalam ceramah sama, Adly turut menyentuh pencapaian kerajaan negeri Melaka yang diterajuinya termasuk peningkatan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.

“Dalam tempoh setahun dari 50,000 (penumpang) sekarang hampir 150,000 penumpang. Mengapa dari tahun 2011, mereka (kerajaan BN) tidak lakukan?

“Kerana mereka banyak birokrasi. Siapa mahu percaya dengan mereka ini? Kalau jenis melompat begini, tiada prinsip, pelabur mana mahu datang?” tegasnya.

Bina muafakat

Pengerusi AMANAH negeri merangkap Bendahari Agung AMANAH itu juga memberitahu beliau sudah bertemu dengan lebih 4,000 rakyat pelbagai latar belakang termasuk orang kurang siuman sepanjang menjadi Ketua Menteri,

“Saya tiada masalah berjumpa dengan rakyat. Segala masalah rakyat boleh dibincangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, keadaan politik khususnya di Melaka pada masa ini tidak perlu dibimbangi.

“Saya langsung tidak bimbang kerana akhirnya kuasa akan diserahkan kepada rakyat. Tidak perlu tunggu dua, tiga tahun.

“Kita tunggu apa berlaku dua, tiga bulan ini,” tegasnya serentak disambut tepukan dan sorakan penyokong PH.

Beliau pada masa sama menyeru agar seluruh rakyat Melaka mengeratkan perpaduan demi membangunkan negeri itu.

“Buang sangsi antara kaum. Kita bangunkan negeri kita. Saya cukup berbangga dengan rakyat negeri Melaka.

“Saat ini adalah saat yang sukar. Kita berdepan dengan Covid-19 dan isu ekonomi tetapi kita mesti membina muafakat sesama kita.

“Hari ini kita (PH) masih wakil rakyat. Kita tidak pernah putus asa untuk pastikan mandat rakyat ini dikembalikan.

“Kalau mereka (Perikatan Nasional) berani, kita adakan pilihan raya negeri Melaka untuk kita tentukan siapa yang memimpin negeri Melaka ini,” cabarnya lagi.