Kerajaan PH Melaka komited selesaikan isu rumah rakyat

Kerajaan PH Melaka komited selesaikan isu rumah rakyat

Kerajaan negeri komited untuk terus membantu rakyat menyelesaikan masalah perumahan terutama bagi golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik dan selesa.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai inisiatif rumah diperkenalkan antaranya Rumah Peduli, Rumah Berkat, Rumah Harapan dan Rumah Belia.

“Lebih banyak rumah akan siap menerusi inisiatif berkenaan dan sebab itu, saya yakin melalui model yang kami buat ini dapat menyelesaikan sebahagian masalah penempatan dan selebihnya selesaikan dengan kaedah lain.

“Kami percaya ia mampu memberi impak dalam jangka masa panjang demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian kunci kepada 13 penerima Rumah Peduli Daerah Jasin, Selandar di sini hari ini.

Beliau berkata fasa pertama pembinaan Rumah Peduli itu melibatkan 92 unit telah diluluskan menerusi projek tersebut dan pembinaannya telah memasuki fasa kedua dan akan dilaksanakan secepat mungkin untuk memastikan kos bahan binaan tidak meningkat.

Sementara itu, seorang penerima Rumah Peduli Daerah Jasin, Md Karim Shuhul Hamed, 52, berkata dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah.

Dia yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berkata bantuan rumah berkenaan cukup bermakna buat mereka sekeluarga kerana selama ini dia menumpang di rumah ibunya di kampung sama, sejak bertahun lamanya.

“Dengan bergantung bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain pendapatan isteri sebagai tukang cuci di sekolah yang hanya cukup-cukup untuk menampung belanja harian, kami tidak mampu membina rumah sendiri.

“Saya dan isteri (Rohayati Omar, 42) bersama dua anak tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu ini, kami sangat gembira dan amat bersyukur kerana impian kami untuk memiliki rumah menjadi kenyataan,” katanya.