Kerajaan PH pastikan agenda pembangunan awam diteruskan, kata Anwar

Kerajaan PH pastikan agenda pembangunan awam diteruskan, kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan agenda pembangunan awam diteruskan bagi membawa perubahan yang positif kepada negara, kata Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan baharu ini juga akan terus bermuafakat supaya dasar-dasar yang baik akan dapat dilaksanakan.

“Keadaan dah berubah, permulaan baharu. Kita kini ada tanggungjawab untuk betulkan kesalahan (kerajaan) yang lama.

“Kerajaan sekarang juga pada masa sama perlu memastikan tidak memiliki sifat kerajaan lama yang angkuh dan sombong,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Klang di sini, malam tadi dipetik Bernama.

Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

Mengenai kebimbangan rakyat terhadap Janji 100 hari PH yang gagal dilaksanakan sepenuhnya, Anwar yang telah menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR berkata: “Sesetengahnya mengambil masa 100 hari untuk dilaksanakan, sesetengahnya mengambil masa setahun dan sesetengahnya lima tahun”.

Mohamad Sabu

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, antara pencapaian besar kerajaan PH sepanjang 100 hari mentadbir negara adalah melantik anggota Parlimen pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

“Paling penting kita ubah struktur pemerintahan di mana pertama kali akaun dan perjalanan pentadbiran kerajaan hari ini akan di ‘check’ oleh pembangkang apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai pengerusi PAC.

“Perkara kedua… antaranya ialah pengisytiharan harta menteri, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan anggota Parlimen kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bukan kepada perdana menteri seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pentadbiran kerajaan PH akan melakukan yang terbaik bagi memulihkan keadaan ekonomi Malaysia sekaligus meletakkan negara di landasan yang betul.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0