Kerajaan PH perlu amalkan politik nilai bukan politik kaum

Kerajaan PH perlu amalkan politik nilai bukan politik kaum

Pakatan Harapan (PH) perlu mengenengahkan ‘politik nilai’ dan bukannnya terikut-ikut dengan gerak tari yang pernah ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mengamalkan ‘politik perkauman’.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria dalam kenyataan beliau hari ini.

Malah katanya, Politik Nilai adalah berlandaskan kepada nilai-nilai yang baik setelah disepakati oleh semua bangsa dan juga agama.

“Politik Perkauman bukan bermaksud politik kebencian antara kaum, sebaliknya keputusan-keputusan politik dibuat atas sentimen kaum bukannya atas faktor hak dan kebenaran.

“Rosaknya asas Politik Malaysia adalah kerana disemai, ditanam dan dibajai atas sentimen kaum, manakala pemimpin parti juga banyak mengambil kesempatan atas nama kaum sepertimana yang sering dilaung-laungkan ‘Ketuanan Melayu’.

“Haikatnya, bukan sahaja dari parti kaum Melayu, kaum Cina dan India turut meletakkan nama parti berasaskan kaum iaitu MCA, MIC dan sebagainya, ” jelas beliau lagi.

Menurut Dr Zaidi lagi, meskipun PH ingin membawa halatuju ‘Malaysia Baru’ yang dipercayai iltizamnya tidak lagi menggalas dan memikul ‘Politik Perkauman, tetapi pemimpin-pemimpin PH masih lagi terbawa-bawa dengan semangat perkauman dalam membuat keputusan-keputusan penting dalam masyarakat.

Beliau juga berkata, ‘Rule of Law’ adalah suatu elemen utama yang menjadi laungan PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Secara jelas menggambarkan BN meletakkan undang-undang dibawah telapak kaki mereka dengan pelbagai helah dan pembohongan untuk menghalalkan kebobrokkan atas nama kaum.

“Seandainya PH juga secara sedar dan terang-terangan melanggar ‘rule of law’, laungan apa pula untuk PH war-warkan nanti dalam PRU ke 15 yang akan datang.

“Persoalan yang timbul, apakah rakyat akan meyakininya lagi dan mengulangi kejayaan yang telah berjaya diraih dalam PRU ke 14, ” tambahnya.

Sehubungan itu ujarnya, cita-cita serta iltizam menggunung Politik Nilai masih jauh dari menjadi realiti dan harus direalisasikan semaksima mungkin menjelang PRU ke 15 yang akan datang.