Kerajaan PH perlu segera bantu 3,000 ibu tunggal di Pulau Pinang

Jumabi (bertudung putih) menyantuni ibu tunggal di Seberang Perai baru-baru ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat diharapkan dapat membawa perubahan bagi membela nasib 3000 ibu tunggal yang menganggotai Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Cawangan Pulau Pinang (PITKPP).

Demikian diluahkan oleh Pengerusinya, Datuk Jumabi Mohammad ketika ditemui.

Jelas beliau lagi, majoriti dari ibu tunggal yang menganggotai PITKPP adalah mereka yang menghadapi masalah emosi serta masih mempunyai bebanan besar bagi menyara, mendidik dan membesarkan anak-anak mereka.

“Anak-anak yang ditinggalkan ini merupakan generasi muda yang akan mencorakkan wajah sebenar masa depan negara.

“Kerajaan negeri maupun kerajaan Pusat mesti melaksanakan tanggungjawab dengan serius dan melebihi apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“PITKPP amat berharap ribuan ibu tunggal yang ada di Pulau Pinang dapat dibantu bagi menjana ekonomi mereka dengan membuka peluang perniagaan dan juga pekerjaan,” ujarnya lagi.

Malah kata Jumabi lagi, tidak dapat dinafikan kebanyakan ibu tunggal terdiri dari golongan berumur serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Lebih parah apabila adanya ibu tunggal terpaksa berhempas pulas untuk menyara anak-anak dengan menjual kuih dan makanan.

“Masih ada diantara mereka yang terpaksa mengikat perut untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah dengan pendapatan yang amat menyedihkan.

“Adalah lebih bermanfaat sekiranya kerajaan baru yang menenangi pilihan raya umum pada 9 Mei yang lalu mengambil tindakan drastik mendekati pertubuhan ibu tunggal yang wujud bagi mengenal pasti kaedah sokongan yang dapat disalurkan,” tegasnya lagi.

Menurut beliau lagi, terdapat ramai juga dalam kalangan ibu tunggal yang berhadapan dengan masalah kesihatan dan perlukan bantuan perubatan, sebaliknya mereka tidak diberi pembelaan apabila proses turun padang tidak disempurnakan secara menyeluruh oleh pihak yang diberi mandat untuk melaksanakannya.

“Masalah perumahan dan kediaman juga merupakan salah satu masalah yang membelenggu ibu tunggal sehinggakan masih ramai yang hidup menumpang serta merempat.

“Peluang bagi mendapatkan pinjaman perniagaan bagi mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di samping meningkatkan taraf hidup ekonomi perlu diusahakan oleh kerajaan.

“Jangan hanya mengharapkan ibu tunggal datang untuk merintih dan mengemis sokongan, sebaliknya pelbagai organisasi termasuklah JKKK, wakil rakyat seperti Adun serta Ahli Parlimen mesti bergerak aktif turun padang mendekati golongan tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, sikap menanti dan menunggu ibu tunggal dan golongan memerlukan datang meminta-minta tidak harus ada lagi.

Sebaliknya kata beliau, semua pihak yang telah diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu wajib turun padang, menyinsing lengan, masuk ke ceruk kampung meredah air becak, selut, rumah senget, rumah bocor, rumah hampir menyembah bumi memberi bantuan.

Katanya lagi, institusi zakat dan Jabatan Kebajikan mesti mengubah stail dengan mencari golongan miskin dan asnaf dengan melakukan pencarian yang serius dengan menjejak kaki sehingga ke tengah bendang dan bukannya menanti mereka yang memerlukan menadah tangan semata-mata.